KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar maut setelah motosikal ditungganginya bergesel
dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda HRV sebelum terbabas dan melanggar gerai burger di Jalan Sultan Mahmud, di sini, kira-kira pukul 4.55 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata,
kemalangan itu berlaku ketika mangsa, Muhammad Aiman Faiz Azman, 18,
menunggang motosikal Yamaha R25 dari rumahnya, di Taman Permint Jaya, Chendering ke Batu Buruk di sini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati SUV itu dipandu lelaki berusia 59 tahun dari Kampung Padang Midin menuju Batu Buruk.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, Honda HRV yang sedang bergerak terus dan hendak membelok ke simpang kiri tiba-tiba bergesel dengan Yamaha R25 ditunggang mangsa.
“Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman itu ketika kejadian sedang menunggang motosikal di belakang sebelah kiri kereta SUV berkenaan.
“Pergeseran itu menyebabkan mangsa terbabas lalu melanggar sebuah gerai burger di bahu jalan dan tercampak dari motosikal,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Azli menjelaskan, Muhammad Aiman Faiz disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala pemandu Honda HRV pula terselamat.
Katanya mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya. – UTUSAN










