SANTA CLARA: Syarikat pengeluar cip terkenal, Intel Corporation (Intel) akan membuang lebih 15,000 orang pekerja melibatkan kira-kira 15 peratus tenaga kerjanya sebagai langkah penjimatan kos.
Dalam satu memo kepada kakitangan, Ketua Pegawai Eksekutif Intel, Pat Gelsinger semalam berkata, langkah itu perlu dibuat bagi menjimatkan kos sebanyak AS$10 billion (RM42.5 bilion) pada tahun depan.
“Syarikat perlu menyelaraskan kos dengan model operasi baharu. Kita gagal mencatat keuntungan seperti yang diunjurkan.
“Intel juga masih belum meneroka bidang baharu seperti kecerdasan buatan (AI). Kos yang terpaksa ditanggung sangat tinggi, sementara margin yang diperoleh rendah,” katanya seperti laporan AP.
Gelsinger menambah, Intel minggu depan akan mengumumkan tawaran Skim Pemisah Sukarela (VSS) bagi kakitangan yang layak.
Beliau kemudian menyifatkan perkembangan itu sebagai sebagai satu keputusan paling mencabar sepanjang mengetuai Intel.
“Ini adalah perkara paling sukar yang saya lakukan dalam kerjaya saya,” katanya yang juga memaklumkan sebahagian besar pemberhentian dijangka selesai tahun ini.
Malah langkah itu bertujuan untuk mengubah landskap perniagaan Intel yang kini berdepan saingan kuat dengan syarikat lebih berjaya seperti Nvidia dan AMD.
Intel yang beribu pejabat di Santa Clara, California, mengumumkan kerugian sebanyak AS$1.6 bilion (RM7.23 bilion) untuk tempoh suku kedua tahun ini.
Kerugian itu antaranya didorong oleh kejatuhan pegangan pasaran dalam perniagaan utamanya iaitu cip komputer peribadi (PC) berikutan revolusi telefon pintar. – AGENSI









