GEORGE TOWN : Kerajaan negeri dijangka membincangkan mengenai penyelarasan gaji penjawat awam di Pulau Pinang pada mesyuarat Exco akan datang.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, penyelarasan gaji di peringkat negeri memang akan berlaku dan perbincangan itu dijalankan bagi membolehkan kerajaan negeri meneliti jumlah kenaikan serta impak yang akan berlaku terhadap kedudukan kewangan negeri.
“Kita akan bincang dalam mesyuarat Exco akan datang untuk melihat bagaimana negeri (Pulau Pinang) memberi respon terhadap kenaikan itu. Ini kerana, bagi penjawat awam dari Pusat, memang mereka akan menerima penyelarasan berkenaan.
“Tetapi, bagi penjawat awam di bawah negeri dan majlis bandaraya serta lain-lain (di Pulau Pinang), kita akan lihat impak kepada kedudukan kewangan untuk membiayai kenaikan itu, kita jangka perlu diadakan (penyelarasan gaji),” katanya di sini, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan mengenai pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).
Terdahulu, Kon Yeow hadir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) antara IJM Perennial Development Sdn Bhd (IJM Perennial) dengan empat pemain industri terkemuka bagi pembekalan infrastruktur telekomunikasi dan hospitaliti di The Light City.
IJM Perennial adalah sebuah syarikat usaha sama (JV) antara IJM Corporation Berhad (IJM) dan Perennial Holdings Private Limited (Perennial Holdings) iaitu pemaju utama bagi The Light City yang dijangka memacu pertumbuhan ekonomi yang pesat di Pulau Pinang.
Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri tidak pernah dimaklumkan mengenai sebarang rancangan pemberhentian pekerja Intel di Pulau Pinang ketika ini.
Ia susulan pengumuman syarikat pembuat cip terkemuka Amerika Syarikat (AS) itu yang merancang untuk mengurangkan tenaga kerjanya sebanyak 15 peratus tidak lama lagi.
“Kami tidak melawat (syarikat) Intel semasa lawatan saya ke AS baru-baru ini dan kerajaan negeri juga tidak dimaklumkan mengenai sebarang rancangan pemberhentian itu,” kata beliau.-UTUSAN










