SAUDARA PENGARANG,
TERIMA kasih Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana bersetuju mempercepatkan penyaluran dana awal sebanyak RM100 juta kepada Tabung Wakaf Mara Madani.
Saya menerima tawaran selepas menjalani temuduga bagi mengikuti program Sarjana Kewangan di University of Warwick, Coventry, United Kingdom (UK) bagi sesi 2024/2025 September ini.
Namun permohonan itu masih dalam pertimbangan dan amat berharap dengan pengumuman ini juga akan membuka peluang untuk menyambung pengajian di universiti yang diiktiraf tinggi dengan kedudukan keempat terbaik di UK dan ke-12 di dunia menurut ranking Financial Times 2023 dan QS World University Rankings 2024.
Kerajaan perlu mempertimbangkan peluang bagi membantu pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) memandangkan University of Warwick memberi kelebihan dalam mempersiapkan graduan untuk kerjaya dalam bidang kewangan selain universiti berkenaan terbukti memiliki peratusan kebolehpasaran graduan yang tinggi iaitu 94 peratus dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian nanti.
Moga dengan peluang ini dapat meningkatkan kebolehpasaran dan menyokong objektif untuk melahirkan graduan yang berdaya saing di peringkat global melalui penyertaan dengan pendidikan dari institusi terkemuka dunia seterusnya diaplikasikan untuk memajukan sektor kewangan dan ekonomi negara.
Rayuan telah dibuat kepada Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki untuk mempertimbangkan permohonan saya dan berharap akan mendapat perhatian daripada beliau.
Semoga dengan pengumuman Tabung Wakaf Mara Madani ini pula diharap dapat merealisasikan hasrat Pengerusi Mara bagi membantu pelajar-pelajar dalam kalangan Melayu-bumiputera yang susah dan keluarga berpendapatan rendah.
Saya melihat kerajaan perlu memberi pertimbangan juga kepada graduan program kewangan terutamanya bagi menaja atau memberi biasiswa sebagai mempersiapkan graduan untuk kerjaya dalam bidang kewangan.
Tabung Wakaf Mara Madani dengan geran peluncuran berjumlah RM100 juta ini menyasarkan dana terkumpul berjumlah RM1 bilion dalam tempoh dua tahun ini dilihat akan menambah kredibiliti penubuhan tabung itu serta menjadi cerminan agenda pemerkasaan bumiputera.-UTUSAN
MUHAMMAD SANIY SAMSUDIN
Universiti Utara Malaysia (UUM)










