JERANTUT: Musim kemarau mula melanda di kawasan Ulu Tembeling apabila air Sungai Tembeling beransur surut sehingga menampakkan beting pasir seluas antara 50 hingga 80 meter di Kampung Bantal di sini.
Penduduk Kampung Bantal, Jamizan Rashid, 46, berkata, kelazimannya mulai Jun hingga September setiap tahun, paras air Sungai Tembeling mula cetek kerana tiada hujan di kawasan hulu sungai kemungkinan faktor fenomena La Nino.
“Keadaan air cetek menyebabkan timbul pasir di kebanyakan tempat di sungai ini dan membentuk beting pasir berdekatan tebing dan pulau (pasir) di tengah sungai ini sekali gus mengganggu pergerakan bot penambang membawa penumpang dan hasil kampung serta bot gentian kaca yang digunakan nelayan sungai mencari rezeki.
“Cuaca panas juga menyebabkan air Sungai Tembeling makin cepat cetek dan memberi kesan aktiviti harian penduduk tinggal di pesisir sungai, iaitu Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Bantal, Kampung Bantal Seberang, Kampung Gusai dan Kampung Mat Daling untuk menyeberang (sungai) ke tempat kerja dan urusan lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Pengusaha ternakan ikan sangkar, Mohd. Zaimi Ali, 60, berkata, jika berterusan kemarau, keadaan Sungai Tembeling terus menampakkan keseluruhan pasir bermula di tengah sungai hingga ke tebing juga boleh menjejaskan ternakan ikan sangkar.
“Saya dan rakan pengusaha mula mencongak untuk memindahkan sangkar ke kawasan yang masih berair di Sungai Tembeling bagi keselesaan ternakan patin dan tilapia terus hidup.
“Cabaran penternak ikan sangkar di Ulu Tembeling bukan sahaja musim kemarau malah ketika musim tengkujuh pun perlu mengawasi sangkar ternakan supaya tidak dihanyutkan banjir. Apapun penduduk di sini reda dan alah bisa tegal biasa dengan fenomena cuaca tidak menentu,” katanya.
Nelayan sungai Kampung Pagi, Adenan Nipah, 69, berkata, sehingga kini kebanyakan penangkap ikan berlesen sudah berdepan kekurangan hasil tangkapan kerana di beberapa tempat laluan sungai cetek.
“Ikan liar mula tertumpu di habitat seperti lubuk dan bawah batu kerana tidak tidak dapat bergerak akibat sungai cetek, manakala ikan patin, lawang, jengkua dan ikan liar lain mencari makanan di kawasan hilir sungai jauh dari sini,” katanya.










