Faisal kekal ‘berjuang’ jalani pemulihan

Faisal kekal ‘berjuang’ jalani pemulihan

Faisal Halim ketika turun memberi sokongan kepada rakan sepasukannya di Selangor.-UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bintang Selangor FC, Faisal Halim terus berjuang menjalani proses pemulihan dan rawatan fisioterapi bagi memastikan pergerakan tangan kirinya yang melecur akibat simbahan asid pulih 100 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, Faisal juga ketika ini sedang melakukan senaman untuk menguatkan paru-paru untuk dia kembali cergas semula.

Katanya, kelab akan memastikan Faisal atau turut dikenali sebagai Mickey pulih sepenuhnya sebelum dibenarkan kembali bermain bersama Red Giants.

“Ketika ini Faisal memberi fokus sepenuhnya untuk proses pemulihan. Dia juga masih melakukan proses fisioterapi kerana pergerakan tangannya masih belum 100 peratus.

“Untuk kembali ke pada keadaan sebelum ini mungkin ambil masa sedikit tetapi dia sudah mula melakukan aktiviti yang berkaitan,”katanya.

Ketika ditanya mengenai bila Faisal akan kembali beraksi untuk Selangor FC mengharungi Liga Malaysia (Liga M), Johan berkata segalanya bergantung kepada tahap pemulihan terutama melibatkan tangannya.

“Susah nak cakap dan ia bergantung kepada berapa cepat proses pemulihan untuk mendapat fungsi penuh tangannya.

“Jika tangannya itu dapat segera pulih, maka dia akan dapat kembali bersama pasukan lebih awal. Buat masa ini kita ambil pendekatan memantau dari hari ke hari,” jelasnya.

Terdahulu, Faisal yang juga pemain Harimau Malaya menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu.

Pemain berusia 26 tahun itu, mengalami kelecuran tahap empat dan tangan kirinya menjadi bahagian yang paling terjejas sehingga terpaksa menjalani beberapa pembedahan.

Dalam perkembangan sama, Johan turut memberitahu emosi Faisal ketika ini sangat baik dan ceria terutama apabila dapat kembali menjalani senaman ringan di atas padang.

“Semangatnya sangat tinggi dan komited dalam proses pemulihan. Kembali jumpa dengan rakan sepasukannya buat dirinya begitu semangat (untuk kembali beraksi).

“Sama-sama kita mendoakan dia cepat sembuh dari segi fizikal kerana kalau tentang semangat memang tidak boleh dipersoalkan komitmen yang dia berikan,” ujar Johan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×