PUTRAJAYA: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos gagal segala usaha untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim kerana memfitnahnya berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).
Perkara itu dimuktamadkan hari ini selepas Mahkamah Persekutuan sebulat suara menolak permohonan Jamal untuk mendapat kebenaran merayu.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli yang bersidang bersama-sama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil turut memerintahkan Jamal membayar kos RM30,000.
Ganti rugi tersebut telah dijelaskan ekoran perintah Mahkamah Rayuan pada 29 Mac 2023 agar Jamal mendepositkan sejumlah RM300,000 ke dalam akaun peguam yang mewakili Ahli Parlimen Seputeh itu sementara menunggu rayuan dilupuskan.
Satu panel berlainan ketika itu membenarkan perintah penggantungan keputusan Mahkamah Tinggi terhadap ganti rugi RM300,000 dan kos RM50,000 kepada Teresa.
Pada prosiding hari ini, Jamal diwakili peguam Rejinder Singh manakala Datuk S.N. Nair dan Jaden Phoon mewakili Teresa.
Pada 26 Julai 2022, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd. Arief Emran Arifin membenarkan tuntutan saman fitnah Teresa terhadap Jamal yang difailkan tujuh tahun lalu setelah berpuas hati defendan gagal membuktikan pembelaannya.
Teresa memfailkan saman pada 6 April 2017 dengan mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya berkaitan dana Yawas dalam sidang akhbar pada 8 Mac 2017.
Teresa mendakwa kenyataan fitnah itu disiarkan oleh media cetak dan elektronik termasuk dalam laman sosial Facebook milik Jamal antara lain memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kegunaan sendiri dan seorang yang tidak beretika.
Beliau menuntut ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau mana-mana ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah berkenaan. – UTUSAN










