Dedah dokumen kerajaan kesalahan serius, Chegu Bard direman dua hari - KP KL

Dedah dokumen kerajaan kesalahan serius, Chegu Bard direman dua hari – KP KL

RUSDI MOHD. ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Reman dua hari terhadap Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegu Bard bertujuan  membantu siasatan berhubung pendedahannya mengenai isu rasuah membabitkan pegawai tertinggi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, penahanan Badrul Hisham adalah proses biasa sekiranya terdapat laporan.

Kata beliau, satu laporan telah diterima Polis Kuala Lumpur berhubung pendedahan dibuatnya.

“Ini satu proses siasatan dan jika ada kesalahan, kita akan tengok boleh ditangkap atau tidak.

“Sekiranya boleh ditangkap, kita akan melihat pula sama ada mempunyai keperluan atau tidak. Setelah kita (polis) buat penilaian kesalahan yang dilakukan, boleh ditangkap untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Dang Wangi di sini, hari ini.

Dalam majlis berkenaan, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya menyerahkan surat serah tugas kepada Pemangku Ketua Polis Daerah yang baharu, Nuzulan Mohd. Din. 

Mengulas lanjut, Rusdi berkata, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau berkata, penyebaran dokumen kerajaan adalah satu kesalahan yang serius.

“Ada keperluan untuk kita (polis) tahan dia kerana mahu mengetahui dari mana dia dapat dokumen berkenaan.

“Memandangkan dia ada dokumen itu, kita (polis) mahu mengesan siapa yang menyebarkan memandangkan itu adalah dokumen kerajaan dan dia tidak bekerja di situ. Jadi, kita perlu siasat,” jelasnya.

Terdahulu, Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini membenarkan Badrul Hisham direman selama dua hari bagi membantu siasatan polis.

Perkara itu disahkan peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali, yang dihubungi sebuah portal.

Pada 22 Julai lalu, Badrul Hisham menerusi hantaran di Facebook mendedahkan mengenai dokumen sulit yang didakwa diterimanya pada 15 Julai lalu.

Dokumen itu dikatakan ditujukan kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Panglima Angkatan Tentera Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta kelihatan ditandatangani oleh Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob.

Ia didakwa mengandungi aduan mengenai calon yang menjadi ‘kegemaran parti tertentu’ bagi menggantikan Abdul Rahman yang akan bersara tidak lama lagi.

Badrul Hisham mendakwa dokumen itu menunjukkan bagaimana individu terbabit terlibat dalam beberapa kes rasuah termasuk perolehan RM45 juta.

Dakwa Badrul Hisham lagi, kertas siasatan SPRM juga menyatakan bahawa ‘individu tersebut jelas tidak bertanggungjawab, tidak jujur dan tidak amanah terhadap tugasan dan amanah.’

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×