PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mencadangkan pasukan petugas khas diwujudkan bagi menangani isu-isu serius melibatkan salah laku dan integriti dengan lebih berkesan.
Pasukan petugas khas itu membolehkan siasatan dilakukan terhadap anggota penguat kuasa sebagai satu tindakan bersepadu dan menggunakan kuasa yang ada dalam agensi masing-masing untuk digabungkan dalam satu pasukan sekali gus bersama menyelesaikan masalah berkaitan integriti.
Menurut Pengerusi EAIC, Tan Sri Dr. Ismail Bakar, anggota pasukan petugas khas ini hendaklah mempunyai semua kuasa penyiasatan sebagaimana terkandung dalam Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).
Sebagai contoh katanya, isu rasuah melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki melindungi premis ‘Ali Baba’ dikuasai warga asing.
PBT
“Kalau berlaku rasuah, ada money trail, SPRM boleh terus masuk. Kalau kita nak masuk, PBT bukan di bawah seliaan EAIC, kecuali Jabatan Imigresen yang dikesan tidak buat serbuan melepaskan warga asing itu.
“Itu yang kita perlu buat pasukan petugas khas. Bila ada pasukan ini, kita boleh gunakan kuasa yang ada dalam agensi masing-masing dan gabungkan dalam satu pasukan dan sama-sama selesaikan masalah berkaitan integriti,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya baru-baru ini.
Ismail berkata, pada masa ini, EAIC mempunyai kuasa untuk menggerakkan pasukan petugas khas dengan mana-mana pihak berkuasa lain namun tertakluk kepada aduan yang melibatkan agensi penguatkuasaan di bawah Jadual Akta 700.
Akta berkenaan turut mengekang EAIC menyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika berlaku isu pelanggaran integriti walaupun kedua-dua badan itu dikecualikan kerana tertakluk di bawah akta masing-masing.
“Alasannya, bahawa proses dalaman mereka sudah memadai untuk menyiasat kes-kes salah laku dan rasuah di dua agensi berkenaan.
“Tapi pada saya, kita tidak boleh siasat sesuatu kesalahan itu oleh agensi sendiri. Orang tidak akan percaya dan ia seolah-olah menggambarkan perkara itu tidak menghormati prinsip integriti.
“Sebab itu kita kena ada audit dalaman dan luar. Kenapa kita kena ada perunding bebas sebab kita ragu antara satu sama lain,” ujarnya.
Kata Ismail, sesiapa sahaja boleh mempersoalkan kejituan dan keabsahan sesuatu siasatan.
MENYIASAT
Sebagai agensi membanteras rasuah, katanya, sepatutnya sesiapa sahaja boleh menyiasat SPRM, sama ada telus atau melakukan sesuatu yang bercanggah dengan prinsip.
Justeru, beliau menyambut baik usaha kerajaan untuk meneliti cadangan merangkumkan salah laku anggota SPRM dan PDRM di bawah Ombudsman Malaysia.
“Dulu ada kenyataan yang mana SPRM ini kena diletakkan di bawah Parlimen. Jika diletakkan bawah Parlimen, Ombudsman Malaysia ini juga perlu di bawah Parlimen.
“Kalau mahu menunjukkan agensi kita bersih, janganlah suruh siasat sendiri kerana itu mesti ada benda yang tak betul. Kena ada audit dalaman dan luar,” tegasnya.
Ismail menambah, SPRM dan polis kena beri kuasa kepada orang luar untuk menyiasat apa yang mereka siasat terhadap anggota penguat kuasa mereka sendiri.
“Contoh, siasatan ke atas pegawai SPRM atas sesuatu tuduhan, mereka lakukan siasatan dan hasil dapatan serah pada kami (EAIC) apa mereka siasat.
“Memang ada dua benda, tapi untuk memuaskan hati semua bahawa agensi itu tidak melindungi mana-mana pegawai dan siasatan dibuat telus.
“Kita (EAIC) boleh sahkan selepas itu akan syor tindakan apa yang patut diambil, kalau benda itu tidak betul,” katanya. – UTUSAN










