Paya ‘diganggu’ punca tasik kering

Paya ‘diganggu’ punca tasik kering

KEADAAN air Tasik Bukit Merah yang semakin kering kontang yang dirakam pada 5 Julai lalu. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kawasan paya di sekeliling Tasik Bukit Merah di Bagan Serai yang menjadi sumber bekalan air ke tasik itu ‘diganggu’ dengan aktiviti pertanian menyebabkan ia mudah kering.

Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, tasik tersebut berbeza dengan tasik lain yang menmpunyai sumber air sama ada dari sungai atau dari kawasan air terjun.

Sebaliknya, kata beliau, Tasik Bukit Merah hanya me­nerima bekalan air dari kawasan paya yang terdapat di sekitarnya, yang berfungsi sebagai water catchment atau menyimpan sumber air.

Namun. katanya, banyak kawasan paya sudah diterokai untuk pertanian, menyebabkan kawasan yang dulunya berpaya kini hilang akibat tebus guna tanah aktiviti pertanian.

“Kawasan paya di sekeli­ling tasik itu ibarat ‘span’ yang menyerap atau menyimpan air yang membekalkan air secara berterusan mengalir masuk ke Tasik Bukit Merah.

“Paya di sekeliling tasik tersebut merupakan water catchment atau sumber bekalan air ke tasik. Sumber airtasik itu bukan dari sungai atau air terjun tetapi dari paya dan alur paya yang terdapat di sekitarnya tetapi banyak kawasan paya di­teroka untuk aktiviti pertanian.

“Apabila rizab tasik diteroka, diberi hak milik, sudah tentu ia akan dibangunkan dan paya kawasan paya keringkan untuk pertanian dan sudah tentu punca air hilang, jadi macam nak bekalkan air ke tasik?,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurutnya, paya dikeringkan untuk dijadikan tanah pertanian dengan cara membuat parit, mengalirkan air keluar dari paya dan ini menyebabkan paya menjadi kering.

“Kawasan paya dikeringkan untuk tujuan pembangunan pertanian sedangkan air dari paya merupakan satu-satunya punca air ke tasik ini.

“Memang cuaca antara faktor tasik ini kering ketika ini namun jika kawasan paya di sekitarnya mempunyai simpanan atau bekalan air yang cukup, keada­an mungkin tidak seteruk se­perti sekarang,” katanya.

Bagi mengatasi masalah tersebut, Meor Razak mencadangkan kerajaan negeri melihat semula pengurusan hutan kawasan sekeliling tasik yang perlu dipulihkan semula.

Menurutnya, kajian perlu dilakukan dan jika perlu kerajaan negeri mengambil semula tanah yang sudah diberi hak milik, seterusnya diwartakan sebagai rizab air.

Beliau berkata, selagi tidak diwartakan sebagai kawasan rizab air, kawasan sekitarnya akan terus dibangunkan untuk pertanian, bermakna akan lebih banyak kawasan paya yang musnah.

“Sekarang kalau tak hujan seminggu dua, air tasik kering. Semua ini berkaitan dengan kelemahan dari segi pengurusan tanah.

“Asalnya tanah di sekeliling tasik ini adalah kawasan rizab tapi sudah dinyahwarta dan jadi hak milik. Apabila sudah ada pemilik, terserah pada mereka hendak buat apa,” katanya.

Meor Razak tidak menafikan cuaca antara punca tasik itu kering namun berkata, jika kawasan paya yang menyimpan air diurus dengan baik, tasik tidak kering dengan begitu cepat.

Katanya, ini kerana negara ini beriklim khatulistiwa yang hujan sepanjang tahun, bermakna kawasan paya boleh menyimpan dan menyerap air dan tetap mengalir ke tasik walaupun musim kemarau.

“Perkara paling penting ialah kawal pembangunan dan guna tanah di sekitar tasik ini.

“Hutankan semula sekeliling tasik ini, biarkan kawasan itu berpaya semula, barulah boleh simpan air untuk terus mengalir ke dalam tasik walaupun pada musim kemarau,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×