Kebijaksanaan, kematangan kunci penyelesaian konflik

Kebijaksanaan, kematangan kunci penyelesaian konflik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAIK sahaja mendengar berita rusuhan semakin mengganas di Bangladesh baru-baru ini, saya risau memikirkan keadaan rakan saya, Ahmad Wafiq Aqil, penuntut bidang perubatan di Kolej Perubatan Mymensingh.

Saya mengenali Wafiq sejak beberapa tahun yang lalu melalui kegiatan kami di Wikimedia, sebelum dia ke Bangladesh lagi. Maka sepanjang waktu, Wafiq sentiasa memaklumkan keadaannya dalam perbualan kumpulan kami, serta mengemaskini apa yang berlaku di sana.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Berada di dalam kawasan yang bergolak tentulah amat menggusarkan. Kita mesti sentiasa berwaspada dan bijak membuat keputusan.

Melihat suasana keganasan bertambah buruk, Wafiq bertindak pantas membeli tiket pulang ke tanah air. Akhirnya pada Khamis minggu lalu, perasaan lega menenangkan sebaik sahaja menerima mesej daripada Wafiq bahawa dirinya selamat tiba di Kelantan.

Rusuhan ganas di Bangladesh ini mengorbankan lebih seratus nyawa daripada kedua-dua pihak, manakala beribu-ribu yang lain tercedera. Tragedi berdarah ini bermula daripada protes para pelajar membantah sistem kuota kerajaan bagi jawatan dalam perkhidmatan awam.

Tetapi, apa yang mulanya disifatkan protes biasa, akhirnya berubah menjadi rusuhan ganas.

Tragedi malang ini mengingatkan saya tentang kejadian yang hampir serupa tatkala rantau timur tengah bergolak dalam pemberontakan kebangkitan negara-negara Arab dahulu. Sama seperti keadaannya di Bangladesh, bantahan yang asalnya aman kemudian bertukar menjadi pertempuran berdarah apabila melibatkan isu dan pihak politik berkepentingan.

Saya masih ingat menonton laporan berita tentang keadaan yang amat meruncing di sana, serta usaha kerajaan mengumpul rakyat Malaysia untuk dibawa pulang daripada bumi Mesir yang sedang bergolak ganas saat itu.

Dengan jumlah warganegara Malaysia yang besar dan tinggal di bandar berbeza-beza, usaha tersebut bertambah rumit. Kerajaan bertungkus lumus sehingga rakyat Malaysia yang mahu pulang, terutamanya mahasiswa berjaya dibawa balik ke tanah air dengan selamat.

Melihat pada insiden-insiden ini, saya rasa kita dapat mengambil satu pengajaran yang begitu penting tentang perlunya kesiagaan krisis sebegini. Kita harus belajar daripada pengalaman yang lalu. Tiada gunanya jika semua pihak hanya sibuk menuding jari ke arah pihak lain yang dirasakan ralat dalam mengendali hal sebegini.

Insiden ini sebenarnya dapat memperlihatkan kepada kita semua tentang peranan penting pihak kedutaan bukan sekadar sebagai perantara hubungan diplomatik. Ia juga memperlihatkan bagaimana selaku warganegara yang ke luar negara, kita perlu sentiasa peka jika berhadapan dengan apa-apa keadaan yang tidak diingini serta tahu apa yang perlu dilakukan.

Salah satu tugas kedutaan adalah untuk melindungi serta membantu warganegara mereka yang berada di negara tuan rumah. Jika berlaku sebarang krisis sama ada secara awam mahupun peribadi, mereka boleh memohon bantuan dan perlindungan daripada pihak kedutaan.

Dalam keadaan begini, kedutaan sepatutnya memainkan peranan yang besar bukan sahaja menjadi tempat perlindungan, tetapi juga bagi membantu segala urusan penting rakyat mereka yang berada di sana. Hubungan baik di antara kedua-dua pihak amatlah penting.

Namun begitu, pada masa yang sama kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh serta menganggap semua tanggungjawab terletak pada bahu pihak kedutaan sahaja. Selaku rakyat yang bertanggungjawab, mesti bersiaga dan bersikap proaktif seperti mana kita mengharapkan sikap yang sama daripada kedutaan dan kerajaan.

Pihak kedutaan boleh diibaratkan seperti polis di negara sendiri. Walaupun mereka mempunyai tanggungjawab untuk memelihara keselamatan sekeliling, tetapi kita juga mempunyai tanggungjawab yang sama pada peringkat individu. Jika kita sendiri tidak mengunci pintu pagar rumah, maka bukan salah pihak lain jika rumah kita diceroboh.

Kita harus mengambil contoh langkah pantas yang diambil oleh sahabat saya, Wafiq yang sentiasa memantau keadaan sekeliling dan tanpa berlengah membuat persiapan untuk terus pulang ke tanah air apabila keadaan memaksa.
Sikap proaktif sebegini harus sentiasa ada pada diri kita. Dalam keadaan genting, kita perlu bersikap rasional dan cekap bertindak.

Apabila berada di tanah air, sekali lagi Wafiq membuktikan kematangannya dengan bergerak secara teratur dan tertib memperjuangkan nasib pelajar lain yang masih terperangkap di Bangladesh ketika itu bersama-sama ibu bapa mereka. Cara beginilah yang perlu kita lakukan dan bukannya bersikap kasar tanpa melalui saluran yang betul.

Kadangkala ada beberapa kejadian yang menimbulkan ketidakpuasan hati bagi mana-mana pihak. Kita semua faham, kecacatan dalam pengurusan bukanlah dikatakan langsung tidak wujud.

 

KITA perlu bersikap rasional dan cekap bertindak apabila berlaku konflik seperti rusuhan di Bangladesh.
– AFP

 

PROSEDUR
Sebagai rakyat, kita mempunyai hak untuk mengadu melalui saluran yang bersesuaian jika ada sebarang masalah timbul dan carilah jalan yang tertib jika masih ada rintangan.

Kita juga harus sedar bahawa usaha membawa keluar rakyat ketika krisis keganasan sedang memuncak bukanlah semudah menerbang pulang ke tanah air. Wisma Putra juga perlu merancang strategi dengan teliti termasuk berurusan dengan negara terbabit.

Kerajaan tidak boleh menghantar pesawat secara sembarangan ke negara orang serta bertindak sesuka hati kerana tindakan sebegitu menceroboh kedaulatan negara lain. Ada juga pegawai yang sanggup meletakkan nyawa di hujung tanduk demi rakyat, seperti ketika pergolakan Mesir dahulu.

Hargailah keamanan. Kebijaksanaan dan kematangan ialah kunci kepada penyelesaian masalah.

Peristiwa ini mengajar kita bahawa semua pihak perlulah bersikap matang dan terbuka kepada rundingan dan perbincangan.

Lihatlah bagaimana bantahan aman boleh bertukar ganas dan tidak terkawal. Ambillah iktibar daripada penderitaan rakyat kesan daripada pergolakan selama ini dan bagaimana sukarnya untuk membina kembali negara setelah sudah hancur lebur.-UTUSAN

PENULIS ialah Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×