GEORGE TOWN : Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sedang melaksanakan Fasa 1 Pelan Pengurusan Krisis bagi memastikan bekalan air mencukupi sehingga September ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir K. Pathmanathan berkata, hal ini demikian kerana, taburan hujan yang luar daripada kebiasaan itu telah menyebabkan berlakunya isu bekalan air yang menjejaskan kira-kira 7,400 pengguna air di bahagian pulau, di sini.
Beliau berkata, ketika ini, terdapat kekurangan air yang dibekalkan ke kawasan kejiranan berikut termasuk George Town, Mount Erskine, Air Itam, Balik Pulau, Lebuhraya Thean Teik, Pulau Betong, Tanjung Bungah dan Bayan Lepas.
“Sehubungan itu, PBAPP kini sedang menjalankan pelbagai tindakan termasuk mengoptimumkan pengeluaran air di Loji Rawatan Air (LRA) Batu Ferringhi dan LRA Guillemard tanpa terlalu menjejaskan kapasiti berkesan di Empangan Teluk Bahang.
“Tindakan ini secara tidak langsung membolehkan PBAPP mengagihkan sebanyak mungkin air terawat ke kawasan perkhidmatan Air Terjun dan LRA Sungai Pinang,” katanya di sini, hari ini.
Pathmanathan berkata, PBAPP juga meningkatkan pengeluaran air terawat di LRA Air Itam tanpa menjejaskan
kapasiti efektif Empangan Air Itam.
“Tindakan ini akan mengurangkan kebergantungan Air Itam kepada air terawat dari Sungai Dua yang kemudiannya boleh dialihkan ke kawasan perkhidmatan pinggir LRA Air Terjun.
“Dalam hal ini, PBAPP turut mengawal injap dan operasi mengepam untuk mengagihkan air terawat sebanyak mungkin ke kawasan perkhidmatan LRA Air Terjun dan LRA Sungai Pinang untuk menampung kekurangan,” katanya yang memaklumkan, lori tangki air dan tangki air statik juga dihantar ke kawasan yang terjejas untuk menyediakan air semasa tempoh permintaan tinggi.
Sementara itu, Pathmanathan menjelaskan, PBAPP pada masa yang sama turut berhubung dengan Badan Kawal Selia Air (BKSA) Pulau Pinang setiap hari untuk menguruskan pengabstrakan air pengairan dari Sungai Muda.
“Tindakan ini adalah perlu untuk mengelakkan isu pengabstrakan air PBAPP untuk bekalan air awam di Pulau Pinang di Lahar Tiang.
“Selain itu, PBAPP juga berkomunikasi dengan BKSA untuk memohon operasi pembenihan awan dijalankan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),” katanya.-UTUSAN










