KUALA LUMPUR: Jurusan kemahiran adalah pilihan terbaik buat lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang mendapat keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 2.0.
Pakar Pusat Pembangunan Karier Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Salleh Amat berkata, selain dapat memenuhi permintaan tinggi dalam pasaran kerja, jurusan berkenaan juga menjamin purata gaji yang tinggi sehingga RM5,000 sebaik sahaja tamat pengajian.
Dalam hal ini, katanya, pelajar STPM yang mendapat PNGK 2.0 tidak perlu bimbang jika tidak mendapat jurusan pilihan dalam mana-mana institut pengajian tinggi (IPT).
AGENSI
“Antara jurusan yang mempunyai kebolehpasaran yang tinggi adalah pertanian, pembinaan, teknologi dan mekanikal serta banyak lagi jurusan kemahiran lain yang disediakan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan pelbagai agensi lain.
“Banyak peluang disediakan untuk para pelajar. Jangan putus asa jika tidak mendapat tempat di mana-mana IPT.
“Jangan berhenti separuh jalan atau mengambil langkah untuk tidak mahu lagi melanjutkan pengajian disebabkan keputusan STPM 2.0 itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam, dilaporkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) nasional bagi peperiksaan STPM 2023 menunjukkan peningkatan kepada 2.84 berbanding 2.82 tahun sebelumnya.
Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof. Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, PNGK nasional STPM 2023 meningkat sebanyak 0.02 mata secara keseluruhan, sekali gus tertinggi sejak peperiksaan tersebut dilaksanakan di negara ini.
Mengulas lanjut mengenai pencapaian PNGK calon, Mohd Ekhwan berkata, secara keseluruhannya didapati peratusan longgokan calon STPM 2023 pada PNGK 3.75 dan ke atas ialah 10.10 peratus, PNGK 3.00 dan ke atas ialah 44.82 peratus.
“PNGK 2.75 dan ke atas ialah 58.79 peratus dan PNGK 2.00 dan ke atas ialah 90.08 peratus turut meningkat berbanding 2022,” ujarnya sebelum ini.
Dalam pada itu, penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai turut berkata, selaras dengan perkembangan dalam dunia pendidikan hari ini, lulusan STPM berkenaan juga boleh memohon kursus jangka masa pendek iaitu pengajian micro-credentials bagi memantapkan kemahiran, malah sijil berkenaan turut diiktiraf di seluruh dunia. – UTUSAN










