ALOR SETAR: Polis masih belum menerima dokumen yang diperlukan daripada penganjur Perhimpunan Aman ‘Kedah Bebas Judi’ yang dijadualkan berlangsung Jumaat ini walaupun wakilnya sudah bertemu dan memaklumkan mengenai penganjuran program itu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Salawati Saad berkata, pihaknya bersedia menjadi pemudah cara sepanjang perhimpunan itu sekiranya perkara tersebut diselesaikan awal selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
“Mereka hadir untuk memaklumkan perkara itu kelmarin sebagai sebahagian daripada prosedur bagi mengadakan perhimpunan aman tersebut. Sehubungan itu, mereka diminta untuk memenuhi beberapa peraturan ditetapkan.
“Antara yang ditekankan adalah perkara digariskan dalam Jadual Pertama Seksyen 3 Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu kawasan-kawasan yang dilarang untuk mengadakan perhimpunan tersebut seperti rumah ibadah, tempat pengangkutan awam serta bangunan tertentu seperti hospital dan sekolah.
“Selain itu, mereka juga perlu mengemukakan borang dalam jadual keempat Seksyen 10 akta sama yang memerlukan persetujuan pemilik serta penghuni lokasi yang mahu dijadikan tempat perhimpunan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Baru-baru ini, sebuah gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dikenali Gabungan Gerak Rakyat Hidupkan Amar Maaruf (Geraham) mengumumkan akan mengadakan perhimpunan aman bagi menunjukkan solidariti terhadap dasar bebas judi di Kedah.
Dijangkakan ahli daripada kira-kira 100 NGO akan terlibat dalam perhimpunan tersebut yang dijadualkan selepas solat Jumaat di Dataran Medan Bandar yang berhadapan dengan Masjid Zahir, di sini.
Mengulas lanjut Salawati berkata, pihak polis akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan ketenteraman dan keselamatan awam terpelihara tanpa berlaku sebarang insiden tidak diingini.
“Dalam masa sama, kami juga menegaskan untuk tidak teragak-agak mengambil tindakan sekiranya terdapat mana-mana individu atau pihak yang tidak mematuhi undang-undang ditetapkan.
“Kami juga akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang sengaja menimbulkan provokasi hingga menyebabkan kacau ganggu terhadap ketenteraman awam,” katanya. -UTUSAN










