KUANTAN: Solat tahajud menjadi kunci utama kejayaan seorang anak peneroka Felda Bukit Goh di sini memperoleh keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Astana, Aienur Salmalisa Mohd. Jafri, 20, berkata, dia tidak pernah meninggalkan solat tahajud sepanjang menghadapi STPM.
“Sebulan hendak peperiksaan STPM itu, setiap hari saya akan bangun pada pukul 4 pagi. Hubungan dengan Allah SWT kena jaga dan sepanjang tempoh STPM ini saya tidak pernah tinggal lagi solat tahajud,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Keputusan STPM 2023 di sini hari ini.
Kata anak ketiga dari enam beradik itu, dia berhasrat menjadi seorang guru justeru merancang untuk memasuki mana-mana Institut Pendidik Guru (IPG) yang ditawarkan.
“Sewaktu habis SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saya rancang hendak masuk IPG tapi saya tidak dapat temuduga IPG jadi saya sambung ambil STPM dengan harapan hendak jadi cikgu.
“Saya memang dari kecil hendak jadi cikgu. Saya hendak jadi cikgu Sejarah tapi kalau dapat IPG lain-lain mata pelajaran pun saya akan pergi juga,” katanya.
Seorang lagi pelajar SMK Astana yang memperoleh keputusan PNGK 4.0, Ammar Yasir Azmi, 20, pula berkata, menghormati guru adalah perkara paling penting bagi seseorang untuk memperoleh kecemerlangan dalam pendidikan.
“Sekarang kalau kita lihat pelajar kurang hormat guru, jadi penting untuk menghormati guru jika hendak berjaya,” katanya.
Selain itu tambahnya, antara tips lain untuk cemerlang dalam STPM adalah perlu sentiasa rajin mengulangkaji dan memahami apa yang diajar oleh guru.
“Pada saya menghafal itu tidak penting. Apa yang penting adalah untuk kita memahami apa yang telah diajar oleh guru,” kata anak bongsu dari sembilan beradik itu.
Sementara itu seramai 106 calon STPM negeri ini memperoleh PNGK 4.0 dan 1,936 daripada 1,942 calon atau 99.7 peratus telah mendapat kelulusan penuh. – UTUSAN










