PYONGYANG: Korea Utara mengumumkan bahawa negaranya tidak akan mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik Tokyo tahun ini.
Tindakan itu bagi melindungi para atlet Korea Utara daripada dijangkiti Covid-19.
Menurut laman sesawang sukan yang dikendalikan oleh kerajaan Korea Utara, keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat jawatankuasa Olimpik pada 25 Mac lalu.
Pengumuman itu mengakhiri harapan Korea Selatan menggunakan temasya untuk terlibat dengan Korea Utara di tengah perbincangan isu rentas sempadan yang terhenti.
Pada 2018, kedua-dua negara itu menyertai pasukan bersama di temasya Olimpik Musim Sejuk yang menjurus kepada peristiwa bersejarah.
Sukan Olimpik Tokyo yang ditangguhkan sejak tahun lepas akibat pandemik Covid-19, dijadualkan berlangsung pada 23 Julai depan.
Ini kali pertama Korea Utara tidak akan menghadiri Olimpik Musim Panas sejak tahun 1988, ketika negara itu memboikot temasya Olimpik Seoul semasa Perang Dingin. – AGENSI











