KANGAR: Banjaran Nakawan sepanjang 36 kilometer di sini bukan sahaja menyajikan pemandangan indah namun lebih istimewa separuh bukit-bukit di kawasan tersebut dipenuhi 200 dusun durian.
Malah ada antara dusun berkenaan sudah berusia lebih 200 tahun dengan salah satu dimiliki Hamizat Had, 52,.
Dusun Hamizat seluas 1.3 hektar itu terletak di Bukit Wang Angin, Banjaran Nakawan di sini.
Untuk ke dusun berkenaan yang berketinggian 230 meter itu boleh melalui pendakian yang memakan masa 30 minit atau menggunakan kenderaan khususnya pacuan empat roda yang mengambil masa sekitar 10 ke 15 minit.
Hamizat atau lebih mesra disapa Pak Lang Dat dari Kampung Nesam di sini adalah generasi kelima menguruskan dusun yang mempunyai lebih 100 pokok durian itu.
Hamizat berkata, sepanjang musim buah berkenaan, dia yang banyak menghabiskan masa di dusun bersama isteri, Lely Suriana Puteh, 50, mampu mengutip buah durian bukit dan durian nasi kunyit antara 100 biji sehari.
Katanya, setiap kali musim antara penghujung Mei hingga Ogos, pokok di dusun berkenaan mampu menghasilkan lebih 3,000 biji atau sekitar enam tan metrik buah durian.
Ujarnya, buah itu dijual sama ada melalui penghantaran ke rumah atau mereka yang datang membeli terus di dusun dengan harga serendah RM5 sehingga RM25 sekilogram.
“Pengunjung ke dusun ini juga boleh menikmati raja buah tersebut sambil menikmati pemandangan indah banjaran berlatar belakangkan Bukit Wang Gunung.
“Dusun ini merupakan turun-temurun yang sudah berusia lebih 200 tahun dengan ada pokok sudah silih berganti. Lazimnya had pokok durian di sini antara 100 tahun. Setiap hari saya dengan Mak Lang (isteri) mengutip buah yang luruh itu antara lima ke enam kali.
“Istimewanya, kita boleh makan durian di sini sambil menikmati pemandangan di atas bukit di banjaran ini yang cukup memukau.
“Bagi memudahkan pelanggan datang, kita juga menyediakan perkhidmatan pengangkutan menggunakan pacuan empat roda dengan bayaran RM10 setiap seorang,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Tambah bapa kepada empat orang anak itu, peminat raja buah itu dari luar negeri ini seperti Pulau Pinang, Kedah dan Perak juga sering kali datang menikmati buah durian di sini.
“Saya juga melihat kawasan banjaran ini yang mempunyai banyak dusun durian berpotensi dijadikan sebagai lokasi agro pelancongan yang mampu menjadi salah satu kawasan tarikan pelancong di negeri ini.
“Cukup unik kerana dusun-dusun ini terletak di atas bukit di banjaran yang menyajikan pemandangan dan panorama cukup indah,” katanya. – UTUSAN










