JOHOR BAHRU: Bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bukan lagi pilihan kerjaya kedua selepas bidang akademik, sebaliknya kini menjadi laluan utama pendidikan negara.
Pengarah Kanan (Akademik) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Mohd. Noor Shahudin berkata, perkara itu dibuktikan menerusi kesungguhan kerajaan merealisasikan agenda TVET Nasional agar setanding negara maju.
Menurutnya, Malaysia mahu mencontohi kelebihan teknologi negara seperti Jerman, Australia, Jepun, Korea Selatan, China dan Singapura.
“Politeknik Malaysia dengan konsep ‘TVET For All’ akan terus merencana strategi mempromosikan bidang pendidikan ini secara radikal dan kolektif dalam ekosistem pendidikan negara.
“Dengan kekuatan 36 buah politeknik dan 106 kolej komuniti, berserta tenaga kerja seramai 15,000 orang dengan enrolmen lebih kurang 100,000 penuntut, kami komited menjayakan aspirasi negara ini,” katanya merasmikan Majlis Konvokesyen Ke-8 Politeknik Metro Johor Bahru (PMJB) di Hotel KSL & Resort, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah PMJB, Dr. Supa’at Zakaria@Jawahir.
Mohd. Noor memberitahu, pihaknya komited memastikan semua program pengajian yang ditawarkan mendapat akreditasi dan pengiktirafan daripada badan profesional bagi memastikan graduan memenuhi permintaan pasaran domestik dan antarabangsa.
“Alhamdulillah, Politeknik Malaysia telah mendapat pengiktirafan peringkat tertinggi, iaitu Anugerah Platinum daripada ‘Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC)’. Saya juga ingin berkongsi pencapaian besar Politeknik Malaysia yang diberi kelulusan menggunakan logo ‘International Engineering Alliance (IEA)’ Sydney Accord dan Dublin Accord oleh Lembaga Jurutera Malaysia bagi sijil kejuruteraan baru-baru ini.
“Usaha dan kerja keras ini berhasil apabila kadar kebolehpasaran graduan politeknik dan kolej komuniti pada tahun 2023 mencapai tahap 97 peratus. Kita telah mendapat kepercayaan daripada 19,000 pemain industri tempatan dan domestik yang sentiasa menyokong usaha ini,” katanya sambil memberitahu seramai 30,564 graduan politeknik dan kolej komuniti di seluruh negara akan diraikan pada tahun ini.
Sementara itu, Dr. Supa’at memberitahu, PMJB telah melahirkan hampir 3,000 graduan dalam pelbagai disiplin ilmu.
“Hari ini, seramai 145 graduan bagi Sesi II 2022/2023 dan Sesi I 2023/2024 menerima diploma masing-masing. PMJB bukan sahaja fokus untuk melahirkan graduan yang berjaya dalam pencapaian akademik semata-mata, malah turut menggalakkan penglibatan penuntut dalam pelbagai aktiviti pembangunan insaniah bagi melahirkan graduan yang holistik dan berkualiti tinggi,” katanya. – UTUSAN










