Aris Burger sasar pasaran eksport menjelang 2027

Aris Burger diperakui halal oleh Jakim, sasar pasaran eksport menjelang 2027

ARIS Burger menerima pensijilan halal Jakim pada 2018.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Arisprop Holdings Sdn. Bhd., syarikat dibawah Arisprop Capital Investment Bhd. menyasarkan untuk menembusi pasaran eksport ke luar negara menerusi produk sejuk bekunya, Aris Burger seawal 2027 atau pada 2028. 

Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Haris Embong berkata, bagi mencapai sasaran tersebut, pihaknya kini dalam usaha untuk membangunkan kilang baharu yang dijangka dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran sedia ada sehingga 10 kali ganda.

Katanya, syarikat yang ditubuhkan pada 2018 dan berjaya memperoleh pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam masa dua bulan setengah pada tahun yang sama ketika ini mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak lima tan sehari di kilangnya di Batu Muda, Gombak.

“Kilang baharu dijangka akan dibuka pada 2026 dengan kos kira-kira RM20 juta. Kilang baharu ini dijangka dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran sehingga 50 tan sehari.

“Pengeluaran yang lebih banyak ini adalah bagi memenuhi pasaran domestik dan juga sasaran kami untuk mengeksport ke luar negara.

“Buat masa ini, kami sudah mendapat permintaan daripada Asia Barat, China dan Jepun, selain negara ASEAN seperti Indonesia dan Thailand. 

“Oleh itu, kami perlu mengukuhkan Arisprop Holdings supaya kami mempunyai kekuatan dari segi kapasiti pengeluaran bagi memenuhi pasaran eksport ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya baru-baru ini.

Sementara itu, Haris berkata, Aris Burger yang kini mempunyai 24 produk unit simpanan stok (SKU) meliputi burger daging, ayam, ayam kampung dan kambing serta produk sejuk beku lain seperti bebola ayam dan daging, ‘popcorn’ ayam, daging cincang dan sebagainya.

Tambahnya, syarikat yang mempunyai perniagaan gerai burger di bawah jenama Aris Burger kini sudah berada di lebih 600 premis perniagaan seperti pasar raya dan kedai runcit di seluruh negara. 

“Matlamat kami dalam menyediakan produk makanan halal ini adalah sebagai fardu kifayah dan kami komited untuk meningkatkan kepelbagaian pengeluaran makanan halal domestik bagi memenuhi permintaan pengguna sambil mengekang pergantungan import

“Usaha ini juga dapat memastikan keselamatan makanan dalam negara ini dan lebih berdaya tahan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×