KEMAMAN: Tempoh tahanan reman terhadap pasangan suami isteri yang disyaki mendera dua anak mereka, di Jalan Jabur Kubur, Chukai, disambung empat hari lagi bermula esok.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, perintah reman terhadap ibu kandung dan bapa tiri kanak-kanak perempuan dan lelaki berusia enam serta tujuh tahun itu dilakukan bagi membolehkan pihak polis melengkapkan kertas siasatan.
“Sebelum ini pasangan berusia 26 dan 39 tahun ini telah direman selama enam hari bermula Ahad lalu hingga hari ini.
“Bagaimanapun, hari ini kita telah mendapat perintah sambungan reman di Mahkamah Kuala Terengganu pagi tadi bagi membolehkan siasatan dilakukan pegawai penyiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hanyan berkata, pihaknya sedang dalam proses mendapatkan laporan perubatan kedua-dua mangsa dan keterangan daripada pakar kanak-kanak bagi membantu siasatan.
Pada Sabtu, polis menahan pasangan suami isteri itu yang disyaki mendera anak mereka selepas mendapat aduan daripada orang awam yang mendakwa melihat salah seorang suspek menyepak dan menampar pipi salah seorang mangsa berulang kali di hadapan rumahnya.
Pemeriksaan awal polis mendapati, terdapat banyak kecederaan di beberapa anggota badan kedua-dua kanak-kanak itu termasuk terdapat kesan yang dipercayai kesan gigitan di tangan kanan kanak-kanak perempuan itu.
Kedua-dua kanak-kanak itu merupakan anak pertama dan kedua hasil perkahwinan terdahulu wanita itu bersama lelaki lain. – UTUSAN










