Pasukan khas laksana syor kajian kes kematian dalam tahanan

Pasukan petugas khas laksana syor kajian kes kematian dalam tahanan

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebuah pasukan petugas khas ditubuhkan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi pelaksanaan syor-syor jawatan kuasa kajian terhadap kes kematian dalam tahanan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, pasukan itu juga berperanan mengenal pasti cadangan langkah pencegahan berhubung aspek penambahbaikan perundangan, prosedur operasi standard (SOP) dan infrastruktur untuk diteliti oleh entiti kawal selia serta dilaksanakan agensi penguatkuasaan di bawah bidang kuasa masing-masing.

Ia adalah antara beberapa dasar dan inisiatif melibatkan pengukuhan tatakelola dan reformasi perundangan yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional dan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Dalam mesyuarat sama, beberapa dasar serta inisiatif melibatkan pengukuhan tatakelola dan reformasi perundangan telah diputuskan dan diperkenal ke arah meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.

“Garis Panduan Pengendalian Sokongan oleh Anggota Pentadbiran dalam Urusan Kerajaan diperkenal mulai 21 Mei bagi memastikan surat sokongan tidak disalah guna bagi tujuan kepentingan peribadi.

“Garis panduan ini adalah sebagai peringatan berhubung subseksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 berhubung larangan penggunaan jawatan atau kedudukan untuk apa-apa suapan, sama ada kepentingan peribadinya, saudaranya atau sekutunya,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, satu perundangan baharu akan diperkenal bertujuan mengawal selia Badan Berkanun Persekutuan (BBP) serta syarikat-syarikat di bawahnya bagi memperkukuh tatakelola BBP secara perundangan yang akan memberi penekanan antaranya pinjaman, pelaburan dan penubuhan anak-anak syarikat.

“Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan (BBP) telah dikeluarkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri pada 30 April bagi menggantikan Surat Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 1998.

“Garis panduan ini antara lain memperkukuh proses pelantikan pengerusi dan ahli lembaga Pengarah BBP, memperkasa peranan audit dalam, memperkukuh struktur dan komposisi keahlian lembaga pengarah dan mewujudkan Sistem Badan Berkanun (SBSys) sebagai mekanisme pengawalseliaan BBP,” kata kenyataan itu.

Selain itu, Arahan Perdana Menteri No. 1 Tahun 2023 berhubung Tatakelola Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK) dan Syarikat Berhad Menurut Jaminan Kerajaan (CLBG) dikeluarkan pada 20 Mei bertujuan memberi panduan kepada Kementerian Pengawal dalam pelaksanaan peraturan dan prosedur berkaitan dengan pengurusan dan tatakelola SBK dan CLBG.

Menurut kenyataan itu, penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Kebebasan Maklumat bagi memberi akses kepada rakyat untuk mendapatkan maklumat daripada badan awam dan kerajaan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam dipertingkat melalui penglibatan dalam proses pembentukan dasar negara selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS).

“Penggubalan RUU Perolehan Kerajaan bagi mewujudkan mekanisme aduan dan bantahan selaras dengan piawaian antarabangsa bagi memperkasa tatakelola perolehan kerajaan secara perundangan selaras dengan NACS,” katanya.

Jelas kenyataan itu, kerajaan sejak pelancaran NACS pada 7 Mei lalu telah memperkenal 60 substrategi nasional sekali gus membuktikan kesungguhan dan komitmen kerajaan dalam membanteras rasuah selaras dengan aspirasi nasional untuk membangun Malaysia Madani untuk memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat terpelihara tanpa gejala rasuah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini