RAMALLAH: Suruhanjaya pilihan raya Palestin meluluskan seramai 36 calon untuk bertanding dalam pilihan raya yang dijangka diadakan pada bulan depan.
Lapor Arab News, pilihan raya itu merupakan yang pertama diadakan di Palestin dalam tempoh 15 tahun dan dilihat sebagai usaha negara ini untuk meningkatkan sokongan antarabangsa terhadap pentadbiran Palestin.
Pihak berkaitan mempunyai masa sehingga Rabu ini untuk menghantar senarai calon untuk bertanding dalam pilihan raya yang dijangka diadakan pada 22 Mei ini.
Presiden Palestin, Mahmud Abbas akan turut bertanding dalam pilihan raya tersebut dengan mewakili pergerakan Fatah.
Dalam pada itu, pergerakan tersebut dijangka berdepan dengan cabaran dari pembangkang dalam pilihan raya akan datang, terutamanya dari Parti Kebebasan yang dipimpin oleh anak saudara ikon Palestin, Yasser Arafat iaitu Nasser al-Kidwa.
Parti itu mendapat sokongan daripada Marwan Barghouti yang disifatkan sebagai ‘Mandela Palestin’ dan kini dia menjalani hukuman penjara di Israel kerana di dakwa merancang beberapa serangan keganasan dalam tempoh 2000 hingga 2005.
Bekas ketua keselamatan Gaza, Mohammed Dahlan yang kini hidup dalam buangan di Abu Dhabi juga menyokong semua calon parti pembangkang.
Dalam pada itu, biarpun Fatah dan Hamas bersetuju pusat pengundian dibuka di Tebing Barat dan Gaza, hak pengundi Palestin di Baitulmuqaddis tidak dapat dipastikan.
Hal ini kerana Israel melarang semua aktiviti politik kepada penduduk Palestin di Baitulmuqaddis.
Namun, penduduk di wilayah tersebut menyatakan mereka akan mengundi di Baitulmuqaddis Timur yang bakal dijadikan ibu negara baharu Palestin.











