Budaya Melayu tidak ditonjol, George Town Festival terima respon negatif

Budaya Melayu tidak ditonjol, George Town Festival terima respon negatif

TANGKAP layar klip video promosi sambutan George Town Festival 2024 yang didakwa hanya mempromosikan kebudayaan kaum Cina dan India sahaja di Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Beberapa pihak termasuk parti politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini menzahirkan kekesalan susulan penerbitan video klip promosi sambutan George Town Festival 2024 yang didakwa hanya mempromosikan kebudayaan kaum Cina dan India.

Antara yang tampil memberikan kenyataan termasuk Badan Perhubungan Pas negeri menerusi Ketua Penerangannya, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan.

Menurut beliau, video itu tidak mempromosikan semangat masyarakat Pulau Pinang yang sebenarnya kerana ia dilihat seolah-olah menafikan kewujudan budaya masyarakat Melayu di negeri ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Adakah ini satu lagi agenda terancang untuk menggambarkan Georgetown hanya dimiliki kaum tertentu dan adakah pihak berkaitan mahu menafikan kewujudan penduduk asal Pulau Pinang yang menetap di negeri ini sebelum penjajahan Francis Light?

“Justeru, kerajaan negeri perlu bertindak terhadap pihak yang berkaitan agar keharmonian rakyat di Pulau Pinang dapat dijaga,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, video klip promosi festival yang bertemakan ‘Here and Now’ itu tersebar luas dalam media sosial menjelang penganjuran festival berkenaan pada 19 Julai ini.

Festival Georgetown sebelum itu diadakan pada setiap tahun sejak 2010 sempena pengisytiharan Georgetown sebagai kawasan Warisan Dunia oleh UNESCO dan festival ini bertujuan untuk merayakan dan memelihara seni dan budaya serta warisan tempatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) dan Gabungan Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Melayu Negeri Pulau Pinang (Gabungan) turut senada dengan Pas Pulau Pinang berhubung isu terbabit.

Presiden Pemenang, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, beliau kesal dengan sikap penganjur Festival Georgetown 2024 yang tidak sensitif dengan soal perpaduan selain menafikan kewujudan kebudayaan kaum Melayu.

“Kejayaan festival ini tidak dinafikan berupaya mempromosi Georgetown sebagai destinasi pelancongan dalam dan luar negara.

“Namun, hal ini dilihat telah membawa implikasi yang mengecewakan beberapa pihak khususnya masyarakat Melayu yang menjadi salah satu teras dalam pembinaan masyarakat di Georgetown,”katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini