GEORGE TOWN : Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) menegaskan bahawa tidak ada keperluan buat masa ini untuk membuka kemasukan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada pelajar bukan bumiputera.
Presidennya, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, dalam hal ini, dasar berkaitan UiTM perlu dan mesti dikekalkan kerana masih ramai orang Melayu dari pedalaman dan orang miskin di bandar yang memerlukan UiTM.
“Pemenang akan terus mempertahankan UiTM sebagai Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) untuk orang Melayu serta bumiputera Sabah dan Sarawak selaras dengan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
“Akta UiTM 1976 (Akta 173) dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan juga telah menyatakan bahawa UiTM hanya menerima kemasukan pelajar dalam kalangan orang Melayu dan bumiputera sahaja.
“Sehingga ke hari ini, dasar dan matlamat asal penubuhan UiTM itu masih relevan dengan keadaan semasa. Malah, ia terbukti berjaya mengimbangi kedudukan bumiputera serta bukan bumiputera di negara ini,” katanya di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan bahawa pelakon dan model, Alicia Amin mempertahankan pendirian bapanya, Prof. Dr. Raja Amin Raja Mokhtar yang mencadangkan agar kemasukan ke UiTM dibuka kepada bukan bumiputera, namun, hanya untuk kursus pengajian pascasiswazah.
Alicia berkata, Raja Amin sebagai pengamal perubatan cakna tentang kekurangan doktor dan jururawat di pusat kesihatan kerajaan yang menjadi masalah negara sejak kebelakangan ini.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim pula menyifatkan kemasukan graduan bukan bumiputera ke UiTM bukanlah satu bebanan, malah ia mampu memberi manfaat kepada bumiputera.
Mengulas lanjut, Mohd. Yussof berkata, sebelum merdeka dan awal merdeka, pendidikan tinggi orang Melayu sangat berbeza berbanding dengan orang bukan Melayu iaitu umpama langit dan bumi.
“Kursus-kursus profesional dan penting seperti kejuruteraan, perubatan dan matematik di beberapa universiti awal seperti Universiti Malaya pada waktu itu dimonopoli oleh orang bukan Melayu.
“Pelajar-pelajar Melayu dan bumiputera yang kebanyakan berasal dari kampung terpaksa bersaing hebat dengan pelajar-pelajar bukan Melayu yang kebanyakannya berada di bandar-bandar yang banyak kemudahan pendidikannya,” katanya yang memberitahu, kemiskinan serta taraf sosial yang berbeza menjadi hambatan kepada integrasi nasional.
Tambah beliau, ketidakseimbangan ini juga telah mencetuskan idea untuk sebuah universiti khas khusus buat pelajar-pelajar Melayu dan bumiputera.-UTUSAN










