GEORGE TOWN : Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) menggesa kerajaan negeri untuk memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam semua urusan termasuk penyampaian maklumat dalam media sosial.
Presiden Pemenang, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, gesaan ini juga ditujukan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
”Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa utama dalam sistem pentadbiran negara dan tidak ada alasan untuk bahasa ini perlu dialihbahasakan untuk difahami oleh rakyat Malaysia.
“Kita dapati masih ada beberapa isu dibangkitkan oleh orang awam dan terkini ialah mengenai peta jajaran Transit Aliran Ringan (LRT) yang bakal dibina di Pulau Pinang yang dikatakan hanya terdapat dalam Bahasa Mandarin dan Bahasa Inggeris sahaja dalam media sosial,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas komen-komen orang awam dalam media sosial yang mempertikaikan lakaran peta LRT Pulau Pinang dimuat di media sosial dalam kedua-dua bahasa itu sahaja ketika ini.

Mohd.Yussof berkata, jika ia adalah maklumat awam untuk rakyat Malaysia, maka kerajaan negeri seharusnya mendidik rakyat untuk membaca dan menulis dalam bahasa kebangsaan sahaja supaya rakyat diasuh memahami bahasa kebangsaan.
“Adalah mendukacitakan jika masih terdapat rakyat Malaysia yang tidak boleh membaca dan bertutur dalam bahasa kebangsaan yang juga bahasa rasmi negara serta bahasa perpaduan sehingga kerajaan terpaksa menyiarkan maklumat dalam Bahasa Mandarin serta Bahasa Inggeris,”katanya.
Tambah Mohd. Yussof, kerajaan negeri tidak perlu bimbang untuk mengalih Bahasa Melayu kepada rakyat Malaysia untuk menyampaikan maklumat rasmi kerana negara telah 67 tahun mencapai kemerdekaan.
“Kami yakin semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum sudah boleh membaca dan menulis dalam bahasa kebangsaan serta faham bahasa kebangsaan itu sebagai bahasa rasmi negara,” katanya.
Katanya, usaha memartabatkan bahasa kebangsaan sebenarnya terkait rapat dengan sejarah peradaban bangsa yang pernah diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Malah pakar-pakar sejarah bersetuju bahawa Bahasa Melayu merupakan ‘lingua franca’ yang digunakan dengan meluas lebih 300 juta penduduk rantau ini,” katanya.-UTUSAN










