'Anak saya menggelupur seperti ayam disembelih' - Bapa - Utusan Malaysia

‘Anak saya menggelupur seperti ayam disembelih’ – Bapa

ALIAS Saras menunjukkan biskut yang dipercayai mengandungi racun yang dimakan anaknya di sebuah kebun, di Kampung Dadong, Kemaman, semalam. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Bapa kepada remaja lelaki berusia 13 tahun yang termakan biskut dipercayai dicemari racun di sebuah kebun di Kampung Dadong, dekat sini, mendakwa kesan racun tersebut terlalu kuat hingga menyebabkan anaknya menggelupur seperti ayam disembelih.

Alias Saras, 57, berkata, anaknya, Mohd Daynail Haikal, 13, memberitahu, dia tidak sempat makan sekeping biskut tersebut, sebaliknya hanya sempat mengunyah dan meludah kembali biskut tersebut selepas dihalang rakannya.

“Ketika Haikal dah gigit biskut itu, rakannya ternampak dan melarangnya makan. Haikal tidak sempat menelannya dan terus meludah kembali biskut itu selepas lidahnya terasa masam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Namun, lima minit kemudian, dia tiba-tiba terjatuh dan menggelupur seperti ayam yang baru disembelih dengan mulutnya berbuih sebelum tidak sedarkan diri lebih sejam,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di Kampung Air Putih, di sini, hari ini.

Alias berkata, dia tidak dapat membayangkan keadaan anaknya sekiranya termakan sekeping biskut tersebut.

Menurutnya, sebelum kejadian, anak keempat daripada lima adik beradik itu baru selesai menjalani latihan memanah di Sekolah Menengah Kebangsaan Dadong, di sini, bersama rakannya memancing di parit berdekatan kebun pisang tersebut.

“Sebelum memancing, Haikal dah makan tengah hari di rumah rakannya. Dia mengambil biskut yang digantung di pagar kebun itu selepas tertarik melihat banyak biskut yang digantung di pagar kebun itu tanpa mengetahui biskut itu beracun.

“Bukan hanya satu biskut yang digantung, tetapi banyak. Memang mudah jadi tarikan untuk budak-budak,” katanya.

Alias berkata, biskut itu digantung dipercayai untuk menghalau kera dan haiwan liar.

“Anak saya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama sehari sebelum keadaannya stabil dan Alhamdulillah keadaannya kini semakin pulih,” katanya.

Alias berkata, dia berharap pekebun tidak menggunakan meletakkan makanan yang boleh menarik perhatian kanak-kanak untuk menghalau haiwan di kebun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini