KUALA LUMPUR: Bapa kepada Baby Syifaa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan menyalahgunakan harta iaitu wang berjumlah RM67,000, tahun lalu.
Yuseri Yusoff, 41, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan.
Mengikut pertuduhan, Yuseri didakwa dengan curangnya menyalahguna harta RM67,000 kepunyaan seorang wanita di Jalan Delima Wangsa Delima 6, Pusat Bandar Wangsa Maju di sini antara 20 Julai dan 12 Oktober 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan dengan sebat, dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Berikutan pengakuan tidak bersalah tertuduh, Timbalan Pendakwa Raya Hamizah Hisan menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi sebutan kes seterusnya.
Bagaimanapun peguam Gaithri Thomas yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin itu dengan alasan anak guamnya pempengaruh yang mempunyai pendapatan tidak tetap
“Tertuduh menanggung seorang anak berusia sembilan tahun, hanya bekerja sebagai pempengaruh dengan pendapatan yang tidak tetap. Mohon kadar jaminan paling minimum diberikan,” kata peguam itu.
Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua pihak, Illi Marisqa kemudian membenarkan Yuseri diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin. Tarikh 26 Ogos ini ditetapkan untuk sebutan kes.
Terdahulu media melaporkan lelaki tersebut ditahan di ibu negara oleh pasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju. –UTUSAN










