Feri ke Langkawi terkandas lima jam

Feri ke Langkawi terkandas lima jam

FERI membawa 163 penumpang dari Kuala Kedah yang terkandas ketika dalam perjalanan ke Langkawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Sebuah feri membawa seramai 163 penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi terkandas lebih lima jam berhampiran Terminal Feri Kuala Kedah, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu berlaku di perairan sekitar 7.5 batu nautika dari Terminal Feri Kuala Kedah yang didakwa berpunca daripada kero­sakan dua enjin yang terhenti secara mengejut.

Menurut Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures, Kapten Baharin Baharom, insiden itu berlaku hanya beberapa minit selepas feri berlepas dari terminal di Kuala Kedah.

“Kakitangan teknikal dapat membaiki satu enjin dan feri dapat berfungsi semula. Selepas itu, pengurusan berbincang dengan pelbagai pihak sama ada perlu berpatah balik ke Kuala Kedah atau meneruskan perjalanan ke Langkawi menggunakan satu enjin.

“Pada waktu sama, paras air di Kuala Kedah cetek di bawah 1.2 meter dan tidak selamat untuk perjalanan yang memungkinkan feri berisiko tinggi tersangkut pada beting pasir,” katanya ketika dihubungi semalam.

Baharin berkata, sekiranya feri berpatah balik ke Kuala Kedah, jangkaan untuk tiba di Langkawi sekitar pukul 2.30 pagi berikutan air laut di Kuala Kedah mula kembali pasang pada pukul 12 tengah malam.

“Apabila air sudah pasang baru boleh guna feri gantian. Maka ketika itu, pihak pengurusan memutuskan feri berkenaan perlu meneruskan pelayaran ke Langkawi menggunakan satu enjin dengan kelajuan 9.6 knot yang selamat tiba di Terminal Feri Langkawi pada pukul 11.44 malam tadi (kelmarin),” katanya.

Beliau berkata, sepanjang pelayaran menggunakan satu enjin, feri terbabit dipantau dan diiringi bot penunda sebagai persediaan bagi menghadapi sebarang kejadian yang boleh membahayakan penumpang.

“Pihak konsortium amat menititikberatkan kebajikan penumpang, termasuk mengagihkan makanan dibawa bot penunda dari Kuala Kedah. Makanan diagihkan sekali lagi kepada penumpang sejurus mereka tiba di Terminal Feri Langkawi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×