KUALA LUMPUR: Pelakon, Jay Iswazir, menegaskan rupa paras bukan satu-satunya penentu kepada perkembangan kerjaya seorang pelakon.
Jelasnya, kebolehan dan bakat yang dimiliki sebenarnya yang membuatkan kerjaya pelakon bukan sahaja berkembang malah bertahan lama.
“Turning point sepanjang 14 tahun bergelar anak seni adalah ketika saya menang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Drama Anugerah Skrin 2018 untuk watak Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi drama Aku Nazmi.
“Tiada kacaknya rupa saya ketika lakonkan watak itu. Tapi Allah bagi saya menang malam itu. Saya jadi malu dengan-Nya, sebab sebelum itu saya ingat saya dianiaya, orang tak pandang saya.
“Yang saya belajar adalah, tak kiralah macam mana rupa kita sekali pun, sebagai pelakon, kita boleh berjaya kalau kita berikan lakonan yang ikhlas,” katanya selepas sidang filem Dajal: Satu Malam Dipedajal, semalam.
Jay diminta mengulas mengenai pelakon Kodi Rasheed yang mendedahkan kurang mendapat tawaran berlakon ekoran rupa parasnya yang tidak sekacak pelakon lain.
“Sebagai kawan, saya geli hati bila dia bercakap macam itu. Tapi, saya fikir juga, kita ini, nampak sahaja gembira. Kadang, ada perkara yang triggered kita untuk buat luahan sebegitu.
“Sama juga dengan Kodi, mesti ada perkara yang jentik emosinya sehingga dia luahkan apa yang dipendamnya.
“Apa pun, kita cari tarikan yang kita ada. Contohi Amy Search, Joey atau Hasnul Rahmat yang nampak ‘wow’ di mata orang lain,” kongsinya.










