TAIPEI: Kementerian Pertahanan Taiwan memantau rapat pergerakan ketenteraan China selepas peningkatan pesawat perang menyertai latihan dengan kapal pengangkut pesawat Shandong China di Pasifik.
Latihan ketenteraan China itu bertepatan dengan sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Washington, di mana draf kenyataan bersama menyatakan bahawa China menjadi penentu usaha perang Russia di Ukraine dan Beijing terus membawa cabaran sistematik kepada Eropah serta keselamatannya.
Kapal pengangkut pesawat China, Shandong, merentas berhampiran Filipina dalam perjalanan ke latihan Pasifik, kata Menteri Pertahanan Taiwan, pada Rabu.
Dalam kemas kini harian mengenai aktiviti ketenteraan China yang dikeluarkan hari ini, Kementerian Pertahanan Taiwan memaklumkan mengesan 66 pesawat tentera China beroperasi di sekitar pulau itu.
Daripada jumlah itu, 39 daripadanya melepasi selatan dan tenggara Taiwan, manakala 36 pesawat lagi sebelum ini dikesan menuju ke Pasifik Barat untuk menjalankan latihan dengan Shandong.
Kementerian itu mengeluarkan dua gambar, satu gambar hitam putih yang kabur dari pesawat pejuang J-16 China dan satu gambar berwarna dari pengebom H-6 berkeupayaan nuklear, yang katanya diambil baru-baru ini tanpa menyatakan butiran lanjut.
“Tentera mempunyai pemahaman terperinci mengenai aktiviti di laut dan perairan sekitar Selat Taiwan, termasuk pesawat dan kapal komunis China,” kata jurucakap kementerian, Sun Li-fang dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, tentera Taiwan menjejaki kedua-dua pesawat pejuang China terbabit.
Setakat ini, Kementerian Pertahanan China belum menjawab permintaan untuk mengulas mengenai aktiviti Shandong.
Taiwan, yang dilihat China sebagai wilayahnya sendiri, mengadu tentang aktiviti ketenteraan negara itu yang berulang kali sepanjang empat tahun lalu, ketika Beijing berusaha untuk menekan pulau yang ditadbir secara demokrasi, menolak tuntutan kedaulatan China.- THE STRAITS TIMES










