KBS beri latihan kepada penghuni penjara melalui Program Ribbon Kuning

KBS beri latihan kepada penghuni penjara melalui Program Ribbon Kuning

HANNAH Yeoh ditemani Abdul Aziz Abdul Razak ketika hadir sempena Program Ribbon Kuning di Penjara Wanita Kajang, semalam. - FOTO/IHSAN PENJARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Program Ribbon Kuning kelolaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memberi peluang kepada penghuni penjara diberi latihan bagi mengisi kekurangan tenaga kerja mahir terutama dalam industri sukan.

Menterinya, Hannah Yeoh menyeru semua pemain industri supaya mengenepikan stigma atau stereotaip terhadap golongan berkenaan dan memberi mereka peluang kedua dalam kehidupan.

Menurutnya, program kemahiran ditawarkan antaranya terapi urutan golf dan kursus asas kedi dilihat mampu memenuhi permintaan tenaga kerja di dalam industri golf tempatan.

“Kita kena tengok prospek (banduan) ini ada pelbagai kesalahan, ada yang serius ada yang tidak malah ada di Penjara Wanita Kajang ini masih menunggu keputusan penghakiman.

“Sebab itu Program Ribbon Kuning ini adalah peluang kedua jadi kita hendak pastikan tiada stigma ke atas mereka,” katanya pada sidang akhbar di Penjara Wanita Kajang di sini hari ini.

Dalam program itu beliau sempat beramah mesra dan menyampaikan sijil kepada 20 penghuni belia di Penjara Wanita Kajang kerana berjaya menyempurnakan kursus urutan terapi golf dan kursus asas kedi.

Turut hadir Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Datuk Abdul Aziz Abdul Razak.

Menurutnya, KBS percaya pemain industri terutama berkaitan golf akan memberi peluang kepada tenaga mahir terlatih menerusi Program Ribbon Kuning bagi mengisi kekosongan sedia ada.

Hannah berkata, pihaknya akan terus fokus memberi latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berteraskan industri sukan selari dengan fokus agensi itu sebagai badan induk kesukanan negara.

Jelas beliau, melalui perbincangan dengan persatuan golf, mereka memerlukan ramai kedi untuk bekerja.

“Justeru, terdapat permintaan untuk kita mesti letak bajet supaya industri mendapat pelatih berkemahiran.

“Kita kena cuba dahulu, kita jangan takut, jangan ada stereotaip atau prejudis. Kalau berjaya kita akan teruskan tetapi kalau tidak berjaya kita akan cuba lagi konsep yang lain pula,” jelasnya.

Tambah beliau, kerajaan kini memberi fokus kepada TVET kerana sistem pendidikan untuk golongan muda sudah berubah.

“Ramai mahu ekonomi gig, mereka tidak mahu belajar beberapa tahun (sebelum kerja), jadi kita beri kemahiran ikut trend semasa,”ujarnya.

Beliau berkata, KBS juga akan melaksanakan Program Rakan Muda di penjara berikutan jumlah golongan banduan dalam kalangan belia agak ramai.

Katanya, Rakan Muda merupakan program pengisian masa lapang yang mana pelatih akan terbabit dalam program antaranya Rakan Mahir, Rakan Aktif dan Rakan Prihatin.

“Kami mahu belia berkemahiran di luar untuk berkongsi kemahiran mereka bersama individu di dalam penjara.

“Saya rasa inilah hala tuju KBS di mana kita tidak mahu hanya fokus kepada kursus kepimpinan yang menjaga top 10 peratus tetapi kita mahu fokus kepada 90 peratus, semua diberi peluang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×