KUALA KANGSAR: Seorang kelindan maut selepas lori yang dinaikinya merempuh bahagian belakang sebuah lori lain di Kilometer 245.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini hari ini.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Muhamad Yusri, 20.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar, Ahmad Izuwan Zakaria berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 7.05 pagi.
Katanya, dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) bersama dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan 17 anggota dari BBP Kuala Kangsar dan Meru Raya dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan membabitkan lori muatan daging sejuk beku dinaiki mangsa dan pemandu berusia 40 tahun dengan sebuah lori yang tidak dikenal pasti.
“Mangsa yang tersepit telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan manakala rakannya pula cedera pada kaki dan telah dibawa keluar oleh orang awam,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi mengeluarkan lelaki yang tersepit itu segera dilakukan dengan menggunakan peralatan menyelamat dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Pemandu lori yang cedera diberi rawatan awal oleh petugas perubatan yang terlebih dahulu tiba di lokasi kejadian. Operasi tamat pada pukul 8.27 pagi,” ujar beliau. – UTUSAN










