Perikatan Nasional (PN) khususnya Pas Kelantan sudah melancarkan ‘perang psikologi’ awal dengan mendakwa mereka mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri selepas melihat calon mereka menang bergaya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap, Sabtu lalu.
Malah, kegagalan Pakatan Harapan (PH) merampas kerusi DUN Sungai Bakap meletakkan pakatan itu dalam ‘tekanan’ sebelum gelanggang PRK Nenggiri membuka tirai secara rasmi 3 Ogos ini.
Dalam PRK Sungai Bakap, PN menerusi calonnya Abidin Ismail bukan sahaja berjaya mengekalkan kerusi berkenaan malah memperoleh majoriti besar 4,267 undi.
UNDI
Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal itu memperoleh 14,489 undi manakala calon Pakatan Harapan (PH) Dr. Joohari Ariffin mendapat 10,222 undi.
Tidak cukup dengan itu, PN menang besar di peti undi saluran muda apabila menyapu 24 daripada 28 saluran.
Berpandukan keputusan itu, keyakinan PN di DUN Nenggiri sangat tinggi apatah lagi bekas penyandang kerusi itu, Mohd. Azizi Abu Naim bertanding menggunakan simbol bulan pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) lalu.
Tidak cukup dengan itu, Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri, Datuk Mohamed Fadzli Hassan memberitahu sokongan Orang Asli terhadap PN khususnya di DUN Nenggiri semakin bertambah baik.
DEPOSIT
Pertambahan sokongan itu susulan kerajaan negeri sentiasa bekerja untuk membela masyarakat berkenaan walaupun sering dilabel sebagai ‘deposit’ kekal Barisan Nasional (BN).
Situasi itu pastinya menjadi pembakar semangat kepada seluruh jentera PN di Gua Musang dalam misi mempertahankan DUN Nenggiri daripada kembali ke pangkuan BN.
Walaupun ia dilihat sekadar andaian, gabungan parti kerajaan khususnya BN tidak boleh mengambil mudah perkara tersebut walaupun mereka bakal berdepan tentangan dari Bersatu yang kekal menggunakan simbol bulan pada PRK itu nanti.
Naratif kerajaan Pusat menyekat peruntukan, penyasaran subsidi diesel, peningkatan kos sara hidup, Blackrock dan sebagainya dijangka akan terus menjadi modal buat PN dalam usaha meraih simpati penduduk di Nenggiri.
IDEA
Justeru, gabungan Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) perlu mencari idea-idea baharu untuk menjawab dan memberikan penerangan kepada pengundi di DUN Nenggiri jika mereka mahu menang.
Kempen berbentuk menyerang kegagalan pentadbiran kerajaan negeri, air, peluang kerja dan ekonomi dilihat sudah tidak releven kerana ia bersifat ‘kitar semula’.
Sebaliknya, BN-PH perlu tampil dengan idea-idea kempen baharu yang bersifat penerangan apa usaha mereka untuk menyelesaikan masalah jika diberikan mandat.
Hal ini kerana rakyat hari ini lebih berminat kepada penyelesaian masalah dan bukannya ‘cakap kosong’ dengan memacak batu asas semata-mata.
Pada PRN-15 lalu, Mohd. Azizi menang dengan majoriti 810 undi menewaskan calon BN, Ab. Aziz Yusoff. – UTUSAN










