PUTRAJAYA: Seorang penganggur yang pernah melarikan diri dari Balai Polis Tanjung Sepat selepas ditahan berhubung kematian seorang remaja pada 2004, kekal menjalani hukuman mati kerana membunuh gadis berkenaan, 20 tahun lalu.
Laporan akhbar pada 9 Mac 2004 menyiarkan mayat seorang gadis yang dilaporkan hilang sejak 26 Februari 2004, ditemukan ditanam dalam lubang sedalam 1.52 meter di tempat letak kereta yang disimen di sebuah rumah teres, Taman Perwira, Sijangkang, Selangor.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengekalkan hukuman mati terhadap Kher Tian Hock, 49, selepas menolak permohonan semakannya.
Keputusan sebulat suara itu turut dicapai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nordin Hassan.
Tian Hock disabitkan membunuh See Sheau Fang, 18, di kawasan sebuah rumah di Jalan Wira 24, Taman Perwira, Sijangkang dekat sini antara 9.30 pagi dan 5.30 petang, 28 Februari 2004.
Banduan akhir itu juga pernah didakwa di mahkamah kerana melarikan diri daripada tahanan di Balai Polis Tanjung Sepat antara 6.30 pagi dan 7.30 pagi 13 Mac 2004 setelah ditahan untuk siasatan kes bunuh itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya K. Roshan membantah permohonan semakannya dan mahukan hukuman gantung dikekalkan.
Roshan berhujah, mangsa dicekik sehingga mati manakala mayatnya dimasukkan ke dalam beg plastik dan dicampak ke dalam lubang sebelum ditutup dengan simen.
Bagaimanapun, peguam Hasnan Hamzah memohon semakan dibenarkan kerana kes itu tidak dikategorikan sebagai `yang paling jarang di antara yang jarang berlaku.’
Mayat Sheau Fang, 18, ditemukan ditanam dalam lubang yang disemen dalam keadaan kaki dan tangannya diikat serta tubuhnya dibalut dengan plastik.
Menurut laporan akhbar, empat hari kemudian, salah seorang daripada lima lelaki yang ditahan berhubung kes bunuh tersebut telah melarikan diri dari lokap Balai Polis Tanjung Sepat, Banting.
Thian Hock melarikan diri melalui bumbung balai polis berkenaan setelah berjaya memecahkan siling bilik air lokap pukul 7.15 pagi.
Dia berjaya ditahan semula pada 5 Oktober 2011 di Masai, Johor berhubung dakwaan terlibat dalam kes melarikan sebuah kereta mewah selepas dipercayai menggunakan identiti dan kad pengenalan baharu. – UTUSAN










