Kedai runcit sorok minyak paket, enggan jual kepada pembeli

Kedai runcit sorok minyak paket, enggan jual kepada pembeli

BUNGKUSAN minyak masak paket 1kg yang disita KPDN akibat disorok sebuah kedai runcit di Taman Makmur, Kulim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Sebuah kedai runcit yang menyorok minyak masak paket dan enggan menjual bekalan itu dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam kejadian di Taman Makmur, di sini semalam.

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, perbuatan peruncit itu terbongkar selepas sepasukan penguat kuasa KPDN melakukan risikan dalam Op Samar kira-kira pukul 12 tengah hari.

Menurutnya, tindakan awal dilakukan oleh pasukan serbuan adalah dengan membuat uji beli, namun ketika itu didapati tiada minyak masak paket 1 kilogram (kg) dipamerkan di rak jualan kedai terbabit.

“Setelah bertanya kepada seorang pekerja lelaki warga tempatan di premis berkenaan berhubung bekalan minyak masak paket 1kg, anggota dimaklumkan bahawa mereka telah kehabisan stok bekalan itu.

“Pasukan serbuan kemudiannya telah menjalankan pemeriksaan dan menemui 222kg minyak masak paket 1kg bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM555,” katanya di sini, hari ini.

Muhammad Nizam berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16A (1) (a) Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan tidak melebihi RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.

“Selain itu, kes ini juga boleh disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613],” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×