KUALA LUMPUR : Kemenangan Perikatan Nasional (PN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap memberi isyarat kepada kerajaan agar tidak sombong dan jangan mudah berjanji sewenang-wenangnya kepada rakyat.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini kerana suara rakyat sama ada menyokong atau membantah setiap dasar kerajaan sudah pasti diterjemahkan melalui peti undi, sekali gus kerajaan boleh menilai keputusan yang dibuat oleh rakyat.
“Apa yang diistilahkan Ahli Parlimen Putrajaya sebelum ini tentang ‘lembu kenyang’ itu perlu difikirkan semula oleh kerajaan, mereka tidak mempeduli rakyat dengan kos kenaikan sara hidup yang berlaku, hanya menerima laporan yang tidak sama dengan apa yang dihadapi rakyat.
“Kemenangan ini juga memberi isyarat kepada kerajaan agar jangan mudah berjanji dengan rakyat kerana sememangnya peti undi adalah tempat luahan sebenar hati rakyat sama ada perkhidmatan kita diterima atau tidak.
“Jadi apa yang disampaikan rakyat hari ini dengan memberi kemenangan kepada PN adalah satu pukulan kepada kerajaan yang tidak memandang rakyat di bawah pada setiap dasar yang ingin dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Dalm pada itu, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya sebelum ini menjangkakan kemenangan berpihak kepada PN, tetapi bukan dengan majoriti besar.
“Kami tahu nak lawan dengan calon Pakatan Harapan (PH) ini bukan perkara mudah kerana PH adalah kerajaan. Namun dua hari sebelum mengundi, kita melihat ada peluang untuk PN menang, tetapi mungkin dengan majoriti 1,000 ke bawah.
“Tetapi Alhamdulillah kemenangan ini adalah kemenangan di luar jangkaan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mewakili bukan Melayu untuk meningkatkan sokongan terhadap PN pada masa akan datang.
“Seperti P. Ramasamy, pihaknya boleh mengemukakan cadangan untuk bekerjasama dengan PN dan ia akan dibincangkan melalui mesyuarat Majlis Presiden.
“Di pihak kita ia memang tiada masalah kerana parti yang sedia ada seperti Gerakan yang mewakili masyarakat Cina, kita juga ada Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP). ada pertambahan sokongan tetapi perlahan. tetapi kali ini kita sudah nampak hasilnya,” ujarnya.
Terdahulu, Ramasamy yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, kemenangan dengan sokongan orang bukan Melayu terutamanya India memberi beberapa idea baharu untuk PN memikirkan formula politik yang lebih besar untuk negara secara keseluruhan.
Katanya, meskipun kaum Cina masih bersama pimpinan PH, namun pengundi India dan Melayu jelas telah menjauhi gabungan pemerintah tersebut. – UTUSAN











