TANAH MERAH: Cubaan dua lelaki untuk menyeludup masuk 2,074 batang anak pokok ke negara ini menggunakan laluan tidak sah gagal selepas mereka dicekup anggota Tentera Darat dalam serbuan di sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok di sini malam tadi.
Rampasan pukul 3 pagi itu dilakukan oleh sepasukan menerusi penugasan rutin di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ 8 Bgd).
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) berkata, semasa melakukan rondaan anggota bertugas telah mengesan pergerakan yang mencurigakan berhamnpiran tebing Sungai Golok di kawasan berkenaan.
Menurutnya, anggota bertugas kemudian terus bertindak menahan kedua-dua lelaki yang masing-masing berusia antara 24 dan 25 tahun untuk tindakan lanjut.
“Pemeriksaan dilokasi membawa kepada penemuan pelbagai jenis anak pokok antaranya pokok buluh manis, sayak naga, keladi, bayan king, mutiara mas, urai mas, zamrud, pilo hijau, siam mon, mutiara adman, botani, kancana, janggut naga, orkid tanah, rumput mas dan bidara.
“Nilai rampasan anak pokok itu dianggarkan berjumlah RM14,490. Kesemua barangan rampasan termasuk lori diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, Angkatan Tentera Malaysia akan terus memperketatkan rondaan bagi memastikan keselamatan sempadan terpelihara.-UTUSAN










