NIBONG TEBAL : Peratusan keluar mengundi kaum Cina dan India yang rendah dikesan antara punca kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, hari ini.
Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, peratusan pengundi kedua-dua kaum itu didapati merosot antara 10 hingga 13 peratus, berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lepas dan pilihan raya yang terdahulu.
“Kita dapati, kehadiran pengundi India dan Cina di pusat mengundi memang menunjukkan pengurangan sekitar 10 hingga 13 peratus berbanding pilihan raya terdahulu.
“Ia sedikit sebanyak menyebabkan kita hilang sekitar 1,000 hingga 2,000 undi,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Jawi Golf Resort di sini, hari ini.
Perikatan Nasional (PN) memenangi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, secara tidak rasmi setakat pukul 8.15 malam tadi dengan majoriti 4,269 undi.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, selain peratusan mengundi kaum India dan Cina yang merosot, isu nasional dan isu negeri juga menjadi antara faktor kekalahan PH di Sungai Bakap.
“Mungkin penjelasan semasa kempen masih belum dapat menyakinkan para pengundi dan ia memerlukan tindakan sewajarnya oleh kerajaan (Pusat dan negeri).
“Kita akan segera berkomunikasi berhubung isu-isu yang menjadi tumpuan pengundi dan mungkin pengundi marah terhadap isu-isu yang menyebabkan persepsi timbul bahawa ia akan menjejaskan kehidupan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, sepanjang tempoh kempen berlangsung juga, PH telah mengambil maklum mengenai kelemahan dan kekuatan gabungan kerajaan Perpaduan dan sebab-sebab yang menyebabkan undi kepada PH merosot.
“Kita akan jalankan ‘post-mortem’ untuk dapatkan gambaran jelas dan akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Kon Yeow berkata, PH dan kerajaan negeri juga tidak akan meninggalkan pengundi di Sungai Bakap dan akan berusaha mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi rakyat di kawasan itu.
“Kita akan mencari penyelesaian kepada isu-isu rakyat di sini, kita tidak akan ketepikan rakyat yang memerlukan bantuan di Sungai Bakap,” katanya.
Selain itu, Kon Yeow berkata, kerjasama antara PH dan BN juga ditonjolkan pada tahap terbaik dalam PRK Sungai Bakap kali ini dan ia menjadi penanda aras hubungan baik di antara kedua-dua parti di peringkat nasional.-UTUSAN










