Lagi harimau belang mati dilanggar kenderaan

Lagi harimau belang mati dilanggar kenderaan

HARIMAU belang yang ditemukan mati dilanggar kereta di Kilometer 314.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Tapah, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seekor harimau belang jantan ditemukan mati dilanggar kenderaan di Kilometer 314.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Tapah di sini, semalam.

Kejadian berlaku sekitar pukul 5.45 pagi dan pemandu kereta jenis Nissan Juke yang terlibat dilaporkan tidak me­ngalami kecederaan walaupun kenderaan dipandunya remuk di bahagian depan.

Kaskas harimau yang berada di dalam longkang di tepi lebuh raya itu telah diambil kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak pada pukul 8.15 pagi.

Difahamkan, kaskas haiwan liar itu dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Sha­riff ketika dihubungi mengesahkannya dan memberitahu kejadian melibatkan harimau jantan dianggarkan berusia empat tahun.

“Harimau jantan itu dianggarkan seberat 120 kilogram. Kematian harimau belang ini adalah berita sedih untuk kita,” katanya.

Kejadian itu merupakan yang kedua berlaku di ne­geri ini melibatkan haiwan liar berkenaan dilanggar kende­raan di Lebuh Raya Utara-Selatan selepas pada 8 November lalu apabila seekor harimau ditemukan mati berhampiran Hentian Sebelah Gua Tempurung di Gopeng.

Harimau belang jantan dianggarkan berusia lapan hingga 10 tahun itu mati disyaki dilanggar treler.

Sebelum ini, haiwan liar itu dilaporkan berkeliaran di sekitar Sahom, Kampar.

Dipercayai punca utama haiwan liar itu merayau hingga ke pinggir hutan dan mema­suki kawasan kampung kerana mencari sumber makanan ekoran babi hutan di kawasan itu berkurangan disebabkan wabak demam babi Afrika (ASF).

Selain di negeri ini, kejadian terbaru melibatkan harimau dilanggar kenderaan ialah pada 16 Mei lalu apabila eekor harimau belang dewasa mati dipercayai akibat dianggar kende­raan di Kilometer 50.8 Kuala Lumpur-Karak (KLK) arah Kuala Lumpur berhampiran Lentang di Pahang.

Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak berjaya dalam operasi menangkap haiwan tersebut yang dilaporkan berkeliaran berhampiran penempatan penduduk.

Pada 20 Disember lalu, seekor harimau belang jantan berjaya ditangkap di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Tanjung Damai di Ipoh.

Pada 10 Februari lalu, seekor harimau belang jantan yang dilapor berkeliaran dan menyerang haiwan ternakan di Kampung Ulu Kuang, Chemor, di sini berjaya ditangkap, selepas memasuki perangkap yang dipasang Perhilitan.

Terbaru kelmarin, seekor harimau belang jantan dinamakan ‘Yob Jalong’ dianggarkan seberat 75.5 kilogram memasuki perangkap dipasang Perhilitan Perak di ladang dekat Jalong di Sungai Siput. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×