AMMAN: Bekas Putera Mahkota Jordan, Putera Hamzah Hussein mendakwa beliau kini berada dalam tahanan rumah.
Ia merupakan sebahagian daripada tindakan keras susulan kritikan adik kepada Raja Abdullah II mengenai isu rasuah dalam kerajaan.
Dalam satu video yang disampaikan oleh peguamnya kepada BBC, Putera Hamzah mendakwa wujudnya kepincangan, rasuah dan ketidakcekapan dalam pemerintahan negara itu.
Video itu didedahkan selepas beberapa penahanan peringkat tinggi dibuat yang dikatakan ada kaitan dengan rancangan rampasan kuasa.
Terdahulu, tentera Jordan menafikan Putera Hamzah dikenakan tahanan rumah.
Namun, tentera Jordan memaklumkan bahawa Putera Hamzah diarahkan supaya menghentikan sebarang tindakan yang mensasarkan keselamatan dan kestabilan negara.
Langkah itu selepas beliau melawat ketua puak yang mana dikatakan mendapat sokongan.
Putera Hamzah menafikan terbabit sebarang konspirasi menentang Raja Abdullah II. – AGENSI










