Tiada dokumen kaitkan Hannah dengan gerakan pengkristianan

Tiada dokumen kaitkan Hannah dengan gerakan pengkristianan

MUSA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam, tiada dokumen khusus yang me­ngaitkan penglibatan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dalam gerakan Evangelisme untuk menyebarkan agama Kristian di negara ini.

Menurut Musa, sepanjang memegang jawatan sebagai pegawai tertinggi pasukan polis, beliau tidak pernah melihat dokumen yang membuktikan Menteri Belia dan Sukan itu terlibat dalam aktiviti penyebaran agama Kristian.

Bagaimanapun, beliau berpendirian pergerakan Evangelisme mampu memberikan kesan kepada keselamatan negara berdasarkan penelitiannya terhadap buku tulisan Hannah, video dan pendedahan beberapa pakar akademik.

Ketika ditanya peguam Razlan Hadri Zulkifli yang mewakili Hannah, Musa berkata, hasil penelitian terhadap buku, video dan pendedahan akademik, wujud kemungkinan plaintif terlibat dalam penyebaran agama Kristian di negara ini.

“Walaupun buku yang ditulis oleh plaintif telah diluluskan oleh kerajaan untuk dijual kepada umum, ia tidak sekali-kali bermakna ia tidak akan me­nimbulkan kegusaran dan ke­gelisahan khususnya penduduk majoriti Melayu,” ujarnya.

Bekas Ketua Polis Negara menyatakan demikian ketika memberi keterangan sebagai saksi pertama defendan dalam perbicaraan kes saman fitnah Hannah (plaintif) terhadapnya kerana didakwa membuat ke­nyataan berbaur fitnah semasa berucap dalam satu forum di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 30 Januari 2020.

Berdasarkan tuntutan saman yang difailkan pada 3 Julai 2020, Yeoh mendakwa Musa memberi ucapan berbaur fitnah pada forum bertajuk “Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?”.

Dalam pernyataan saksi ter­pinda defendan, Musa, 73, me­nyatakan, ucapan itu di­sampaikan berdasarkan kepada siasatan risikan berkaitan isu-isu keselamatan negara melibatkan aktiviti komunisme.

Ujar defendan, beliau juga membangkitkan bahawa selain daripada bahaya indoktrinasi komunisme, ada juga ancaman kepada kedaulatan negara melalui Gerakan Kristianisasi dan Gerakan Evangelisme yang didalangi parti politik dan individu berpengaruh di Malaysia.

Katanya, selaku bekas Ke­tua Polis Negara, beliau bertanggungjawab menasihatkan orang awam terhadap bahaya gerakan-gerakan tersebut selain berkongsi kebimbangan jika tidak dibendung, ia boleh mengancam keselamatan negara.

Musa menjelaskan, beliau turut merujuk buku Becoming Hannah: A Personal Journey tulisan wakil rakyat itu selain bergantung kepada pendedahan akademik oleh Pengarah Institut Kajian Politik, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Kamarul Zaman Yusoff yang membuat kajian khusus berkaitan buku berkenaan.

“Dalam buku yang ditulis plaintif secara khusus me­ngandungi unsur-unsur penyebaran agama Kristian secara terbuka termasuklah ke atas orang beragama Islam, melalui pengakuan Hannah Yeoh sendiri.

“Saya juga merujuk kepada dapatan dan hasil kajian Institut Kajian Strategik Islam (IKSIM) yang diketuai oleh Profesor Datuk Naser Disa berkaitan gerakan Evangelism di Malaysia yang turut berpotensi me­ngancam kedaulatan dan ke­selamatan negara,” ujar beliau dalam pernyataan itu.

Musa menyatakan, rujukan lain turut dilakukan terhadap beberapa video yang dimuatnaik di laman media berkaitan gerakan Evangelisme selain laporan polis yang dibuat beberapa individu.

Sehubungan itu, beliau menafikan berniat jahat untuk menimbulkan kebencian, penghinaan dan ejekan terhadap Hannah secara peribadi mahupun politik melainkan keseluruhan ucapan tersebut semata-mata bersifat akademik dalam mengupas tajuk forum yang telah diberikan oleh penganjur.

Dalam prosiding itu, peguam Datuk S. Ambiga  turut hadir bagi pihak Hannah manakala Mohd. Khairul Azam Abd. Aziz dan Datuk Shaharuddin Ali mewakili Musa.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohamed Apandi bersambung 25 Julai ini. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×