KULAI: Johor berjaya menarik pelaburan melibatkan lebih daripada 50 pusat data dengan kapasiti lebih daripada 1 gigawatt (GW) dalam tempoh dua tahun.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkembangan itu menyaksikan Johor bukan sahaja bergelar hab pusat data Asia, malah berpotensi tinggi menjadi antara hab pusat data global.
Menurutnya, pembangunan itu lebih pantas berbanding Singapura yang mengambil tempoh 15 tahun untuk menjadi hab pusat data melalui pembinaan 70 pusat data dengan kapasiti 1.6 GW.
“Memandang ke depan, kita akan menjadi lebih selektif dalam pelaburan pusat data dengan memberi fokus tambahan kepada teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri berhasrat menubuhkan Pusat Data Johor bagi menyelaras usaha pembangunan bakat, teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui di negeri ini,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Kampus Pusat Data Princeton Digital Group (PDG) JH1 di Sedenak, di sini.
Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han.
Tambah Onn Hafiz, projek Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang bakal dilaksana tidak lama lagi merupakan satu inisiatif kerajaan dalam menarik kemasukan lebih ramai pelabur berkualiti ke negara ini, khususnya di Johor.
“Perkembangan ini akan memberi manfaat kepada semua pihak terlibat, sekaligus menyokong pertumbuhan ekonomi setempat termasuk mewujudkan peluang pekerjaan dengan memupuk bakat mahir tempatan.” katanya. – UTUSAN










