MARANG: Semua pengusaha bot di Terengganu perlu memiliki lesen dalam kategori sukan rekreasi untuk membawa pelancong menyertai aktiviti mencandat sotong bermula tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, ketika ini hanya 50 peratus pengusaha bot mempunyai lesen tersebut.
Jelasnya, pemilikan lesen berkenaan penting dalam usaha memastikan tahap keselamatan tekong dan peserta sentiasa terjaga selain menambah nilai komersial bagi aktiviti mencandat.
Menurut beliau, kerajaan negeri kini dalam proses kaji selidik untuk mengeluarkan lesen atau permit tersebut yang hanya dikhaskan untuk aktiviti popular itu bermula April sehingga Oktober setiap tahun.
“Memandangkan semua jenis bot iaitu bot pelancong, bot nelayan dan bot pesisir tidak menang tangan ketika musim mencandat, satu lesen terhad sport fishing perlu dibuat hanya untuk aktiviti ini.
“Kira-kira 50 peratus pengusaha bot tiada permit itu dan hanya menggunakan lesen bot biasa, tetapi dengan lesen khas mencandat tahap keselamatan lebih terjamin dan lebih ramai pelancong akan datang.
“Permohonan diuruskan Jabatan Laut dan Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT), dan kita jangka pemilik semua jenis bot yang berminat akan diberi lesen itu pada 2025,” jelas beliau.
Razali berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Pelancaran Musim Mencandat Sotong Terengganu 2024 di Jeti Pelancongan Marang dekat sini, kelmarin.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu, lebih 200,000 pelancong terutama kaki pancing direkodkan menyertai aktiviti mencandat sotong di perairan negeri itu pada tahun ini.
Razali berkata, pihaknya dengan agensi terlibat juga dalam usaha menarik minat lebih ramai pelancong antarabangsa untuk merasai pengalaman unik ‘bermalam’ di tengah laut itu.
“Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah bersetuju menjadikan aktiviti mencandat sebagai antara produk utama pelancongan negara dan ini akan menarik minat lebih ramai pelancong,” katanya. –UTUSAN










