Rasuah diberi tunai, masuk akaun

Rasuah diberi tunai, masuk akaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati bayaran rasuah membabitkan dua projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai RM1.6 bilion dipercayai dilakukan secara tunai dan sebahagiannya dimasukkan ke akaun peribadi.

Berikutan itu, sebanyak 233 akaun bernilai lebih RM95.93 juta dibekukan SPRM bagi siasatan tersebut.

Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, pembekuan melibatkan 173 akaun individu dan 60 akaun syarikat secara keseluruhan.

Kata sumber, terdapat tiga kereta selain 20 utas jam mewah turut disita SPRM bagi siasatan lanjut.

“Kesemua wang rasuah berkenaan diterima membabitkan dua projek lebuh raya bertingkat di Lembah Klang.

“Siasatan SPRM ini merangkumi tiga aspek rasuah iaitu penerimaan wang rasuah; mengemukakan tuntutan butir matan palsu dan penyalahgunaan dana kerajaan,” kata sumber itu.

Sumber berkata, sebanyak 25 saksi dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kes itu.
Selain itu, 18 individu ditahan termasuk ketua pegawai eksekutif bergelar Datuk bersama dua pe­ngurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya.

“Daripada jumlah mereka ditahan, enam merupakan pegawai kanan di syarikat konsesi lebuh raya diikuti pegawai sebuah badan kerajaan (dua individu) dan peng­arah atau pemilik syarikat (10 orang),” jelasnya.

Kelmarin, dua individu lagi melibatkan seorang pengerusi dan pengarah syarikat subkontraktor ditahan SPRM kerana dipercayai terbabit rasuah bagi pembinaan satu projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai lebih RM1 bilion.

Suspek terdiri daripada pengerusi syarikat bergelar Datuk telah direman selama lima hari sehingga 6 Julai ini manakala pengarah syarikat pula direman tiga hari sehingga 4 Julai ini.

Kedua-dua suspek lelaki berusia dalam lingkungan 40-an hingga 50-an ditahan antara pukul 9 hingga 12 tengah malam tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu pejabat SPRM.

Kedua-dua suspek disyaki memberi rasuah lebih RM200,000 kepada pegawai-pegawai badan berkanun sebagai balasan bagi mendapatkan kerja-kerja projek pembinaan lebuh raya yang sebelum ini dijalankan oleh satu syarikat lain.

Mereka juga dipercayai turut memberi rasuah kepada pegawai-pegawai di sebuah syarikat konsesi lebuh raya untuk tujuan sama.

Dalam pada itu, kesemua suspek yang ditahan reman sebelum ini termasuk ketua pegawai eksekutif syarikat konsesi lebuh raya telah dilepaskan selepas tamat tempoh reman kelmarin dengan jaminan RM150,00.

Utusan Malaysia melaporkan, siasatan awal SPRM mendapati lantikan subkontraktor tertentu dengan bayaran tinggi meskipun kerja membabitkan dua lebuh raya bertingkat di Lembah Klang itu te­lah pun disiapkan pada tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×