Politik ekonomi populis tumpuan kempen PRK Sungai Bakap

Politik ekonomi populis tumpuan kempen PRK Sungai Bakap

SAMA ada Joohari Ariffin (kanan) dan Abidin Ismail, kedua-keduanya lebih selesa memilih pendekatan kempen secara politik ekonomi populis dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.– UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELESAI sahaja Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, suhu politik Malaysia kembali panas, setara dengan keadaan cuaca di Pulau Pinang ketika ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK akan diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 6 Julai ini ekoran penyandang kerusi ini, Nor Zambri Latiff (Pas) meninggal dunia.

Meskipun Kerajaan Perpaduan berjaya mempertahankan kemenangan bergaya di Kuala Kubu Baharu baru-baru ini, namun PRK Sungai Bakap masih menjadi medan persaingan penting yang menguji sokongan rakyat Pulau Pinang sama ada terarah kepada terhadap kerajaan atau pembangkang.

Dua faktor yang menjadi signifikan penting kepada Kerajaan Perpaduan ialah PRK ini akan memperlihatkan kemampuan kerajaan terutamanya daripada PKR untuk merampas semula kerusi ini dari Pas. Jika berjaya, ia membuktikan gelombang hijau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 bersifat sementara dan secara tidak langsung membuktikan kerajaan masih diterima rakyat, khususnya masyarakat Melayu.

Faktor yang kedua adalah PRK ini menjadi tumpuan kerana dalam tempoh kempen, isu ekonomi hangat diperkatakan oleh segenap lapisan masyarakat. Kita juga melihat dalam tempoh pertengahan 2024 berlakunya turun naik pasaran saham menyebabkan nilai mata wang Ringgit menjunam dan kenaikan harga minyak diesel dari RM2.15 kepada RM3.35 per liter menyebabkan rantaian kepada kenaikan beberapa harga barangan.

Oleh itu, faktor ekonomi menjadi dominan pada kempen ini dengan kedua-dua calon yang bertanding mencuba nasib untuk mendapatkan sokongan pengundi dengan pendekatan politik ekonomi populis.

Definisi politik ekonomi populis adalah pendekatan yang direncanakan oleh ahli politik dengan mengaitkan perihal ekonomi bagi mempopularkan kedudukan untuk mendapatkan sokongan.

John Maynard Keynes yang popular dengan Teori Ekonomi Keynasian menyatakan politik dan ekonomi tidak dapat dipisahkan, malah saling berkaitan antara satu sama lain. Pendekatan politik ekonomi populis bukanlah satu taktikal baharu dalam politik Malaysia dan berakar umbi sejak dari zaman sebelum merdeka.

Ketika British kembali semula ke Tanah Melayu, mereka berusaha mendapatkan sokongan daripada Sultan dan rakyat dengan menjanjikan ‘bulan bintang’ untuk menstrukturkan semula ekonomi negeri-negeri di Tanah Melayu selepas terkesan akibat dari pendudukan Jepun.

Selain itu, keunggulan Barisan Nasional (BN) berjaya kekal mendominasi sokongan masyarakat di Malaysia sejak Pilihan Raya Umum (PRU) pertama pada 1955 sehingga PRU13 juga disebabkan oleh faktor politik ekonomi populis yang dibawakan oleh kepimpinan gabungan parti tersebut.

Malahan parti-parti yang mewakili Pakatan Rakyat (PR) ketika PRU12, pada 2008 turut menggunakan pendekatan ini dengan mendakwa kerajaan BN pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi gagal menangani ekonomi dengan baik sehingga menyebabkan kenaikan harga barang yang mendadak. Natijahnya, PR berjaya menawan lima negeri dan menafikan kemenangan majoriti dua per tiga untuk kali pertama dalam sejarah.

Begitu juga dengan kejayaan Pakatan Harapan (PH) menumbangkan BN pada PRU14 turut disebabkan oleh faktor politik ekonomi populis yang dijadikan manifesto utama gabungan tersebut.

Begitulah isu yang melibatkan pendekatan politik ekonomi populis yang mewarnai sejarah politik Malaysia dari awal merdeka sehingga semasa dan pendekatan ini dianggap dekat dengan masyarakat kerana hampir kesemua lapisan masyarakat yang terkesan akibat dari keadaan ekonomi.

ISU EKONOMI
Perkara yang menjadi perhatian pada tempoh kempen adalah isu yang dibawakan oleh calon, sama ada menepati citarasa pengundi atau sebaliknya. Walaupun kebiasaannya adalah isu yang berkaitan dengan masyarakat setempat, namun situasi yang berbeza berlaku di DUN Sungai Bakap. Kedua-dua calon lebih mengutamakan kempen mengenai politik ekonomi populis, terutamanya berkaitan kos sara hidup dan perincian polisi kerajaan Persekutuan dan negeri. Pendekatan ini dapat dilihat pada hari pertama kempen, sejurus selepas pencalonan diumumkan oleh SPR.

Calon dari Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail memulakan kempen dengan menyatakan Kerajaan Perpaduan gagal menguruskan ekonomi dengan baik sehingga menyebabkan kejatuhan nilai mata wang Ringgit. Abidin turut menyatakan sekiranya kerajaan berterusan gagal menarik pelabur, ekonomi negara akan terus lemah dan ini akan menyebabkan kos sara hidup terus meningkat.

Selain itu, kenaikan harga diesel sebelum PRK ini dijadikan ‘peluru utama’ pihak pembangkang untuk menyerang kerajaan. Situasi ini secara tidak langsung menunjukkan pihak pembangkang mengamalkan pendekatan politik ekonomi populis bagi mendapatkan sokongan dari pengundi.

Begitu juga dengan calon dari Kerajaan Perpaduan, Dr. Joohari Ariffin turut memulakan kempen dengan strategi politik ekonomi populis. Pada hari pertama kempen, Joohari berusaha mempertahankan tindakan kerajaan yang menaikan harga diesel dengan mendakwa tindakan tersebut adalah bagi membanteras kegiatan penyeludupan yang berlaku di negeri yang bersempadanan dengan Thailand seperti Kedah, Perak dan Kelantan. Selain itu, beliau turut memberi perincian dasar-dasar ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan dan negeri. Beliau menyatakan kesejahteraan masyarakat bermula dari sudut pandang ekonomi setempat, selain turut melancarkan manifesto yang membabitkan pembangunan ekonomi masyarakat tempatan.

Berdasarkan kepada isu yang diketengahkan oleh kedua-dua calon semasa tempoh kempen ini membuktikan politik ekonomi populis ini penting kepada mereka. Isu ini akan menentukan pihak yang mendominasi sokongan dari pengundi.

Walaupun isu yang menjadi keutamaan semasa tempoh PRK kebiasaannya adalah isu tempatan seperti sistem perparitan, jalan raya dan pembinaan dewan serbaguna seumpamanya, namun strategi politik turut berubah, seiring dengan perkembangan semasa. Oleh itu kedua-dua calon perlu mencari isu yang dekat dengan masyarakat dan politik ekonomi populis adalah strategi yang paling berkesan bagi mendapatkan sokongan ampuh dari kalangan pengundi.-UTUSAN

DR. Muhammad Naim Fakhirin Rezani ialah Pensyarah Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×