Jumlah pelajar ambil jurusan sains tulen rendah - Utusan Malaysia

Jumlah pelajar ambil jurusan sains tulen rendah

Sains
Antara punca pelajar tidak berminat subjek Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi adalah mereka tidak dapat melibatkan diri secara langsung ketika melaksanakan eksperimen berikutan kekangan kemudahan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jumlah pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengambil jurusan sains tulen pada 2023 adalah sebanyak 16.38 peratus daripada 373,525 orang dilihat sebagai terlalu rendah dan memerlukan tindakan segera dilakukan.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Persatuan Sains Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Noraini Idris yang mendakwa, kedudukan tersebut membimbangkan apabila jumlah pelajar mengambil jurusan tersebut dilaporkan menurun berbanding tahun sebelumnya.

Menurutnya, analisis calon yang mengambil peperiksaan SPM pada 2023 menyaksikan hanya 29.4 peratus daripada 373,525 calon mengambil mata pelajaran Matematik Tambahan, Biologi (19.16), Fizik (24.3) dan Kimia (24.54).

“Kadar itu sangat membimbangkan dan tindakan perlu diambil segera untuk Malaysia amnya dan Selangor khususnya jika hasrat untuk menjadi negara atau negeri maju dan kerjaya berkaitan teknologi serta kecerdasan buatan (AI).

“Kita perlu bekerjasama dan fokus memajukan STEM daripada cradle (peringkat awal) hingga ke kerjaya. Selangor perlu menggerakkan dengan lebih agresif dalam pendidikan STEM supaya pemimpin masa depan dalam bidang itu kukuh dengan ilmu dan pelbagai kemahiran terutama dalam menghasilkan pelbagai inovasi dalam AI, bukan sekadar pengguna,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pementasan Mini Teater STEM Selangor Tahap 1 Kohort 4, semalam.

Tambahnya, menerusi laporan International Physics Olympiad, Malaysia berada di kedudukan ke-53 iaitu jauh terkebelakang berbanding negara jiran seperti Singapura (ke-8), Vietnam (ke-10), Thailand (ke-12) dan Indonesia (ke-15).

Dalam pada itu, beliau ketika ditemui pemberita menjelaskan, kedudukan negara bagi jurusan sama dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) dilapor masih rendah dan turut menurun pada tahun lalu.

“Menurun dan membimbangkan tetapi kita juga membuat pelbagai inisiatif, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) sekarang pun banyak inisiatif untuk kita menolong pelajar-pelajar kita supaya meningkat (minat terhadap STEM).

“Itu yang ita sekarang mengadakan pelbagai inisiatif, projek untuk mereka mendalami yang STEM adalah indah,” ujarnya.

Katanya lagi, antara inisiatif yang dilakukan termasuklah mengadakan pementasan mini teater STEM yang menggalakkan pelajar terlibat secara langsung dalam bidang tersebut serta penghasilan produk berkaitan.

“Mereka juga boleh menghasilkan produk dan sambil itu ia mempunyai kaitan dengan pembelajaran di sekolah terutama subjek-subjek sains dan matematik.

“Jadi, mereka melakonkan (teater STEM) bagi menghayati, jadi itu diharapkan dapat meningkatkan lagi minat mereka terhadap STEM dan markah juga kita pantau.

“Selain itu, kita latih mereka membuat projek-projek, memberikan mereka latihan macam tuisyen perucma supaya mereka tahu yang Matematik Tambahan di mana gunanya, konsep kalkulus, statistik dan sebagainya, semua itu kita terapkan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×