Tidak boleh paksa remaja buat ujian DNA dalam kes pertikaian paterniti - Hakim

Tidak boleh paksa remaja buat ujian DNA dalam kes pertikaian paterniti – Hakim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan seorang remaja berusia 16 tahun tidak boleh dipaksa menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan bapa kandungnya dalam kes berkaitan pertikaian paterniti.

Panel lima hakim diketuai oleh Datuk Zabariah Mohd. Yusof berpuas hati, ujian secara paksaan merupakan tindakan ekstrim yang akan menceroboh autonomi peribadi gadis berkenaan.

Koram tersebut berpendapat, remaja itu akan terdedah kepada perasaan marah dan penghinaan jika disahkan bahawa dia anak luar nikah hasil hubungan sulit ibunya.

Mahkamah tertinggi negara memutuskan demikian ketika mengetepikan perintah Mahkamah Rayuan tahun lalu bahawa Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa mengarahkan remaja bawah umur menjalani ujian DNA bagi memastikan paternitinya.

Hakim Zabariah yang bersidang bersama-sama Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais sebulat suara membenarkan rayuan pasangan suami isteri bukan Islam yang dinamakan sebagai D1 dan D2.

Kes pertikaian paterniti itu bermula apabila seorang lelaki memfailkan saman terhadap wanita itu dan suaminya dengan mendakwa dia bapa kandung `C’ dan memohon mahkamah mengeluarkan perintah DNA dijalankan ke atas remaja itu bagi menentukan siapa bapa kandungnya.

Ujian paterniti merupakan kaedah bagi mengesahkan hubungan antara bapa dan anak.  Ia tepat dan cepat  dengan kuasa diskriminasi (atau ketepatan) 99.9999%.

Ketika menyampaikan keputusan hari ini, Hakim Zabariah berkata, remaja itu yang dinamakan sebagai `C’ dalam tuntutan saman berkenaan langsung tidak mengetahui ada pihak ketiga mengemukakan permohonan agar ujian DNA dijalankan terhadapnya.

“Remaja itu tidak juga tidak mahukan pengesahan siapa keluarga kandungnya.  Tindakan membawanya menjalani ujian DNA hanya merosakkan status quo dan realiti bahawa dia hanya mengetahui D1 dan D2 sebagai ibu bapa,” ujar hakim berkenaan.

Panel itu mendapati situasi tersebut agak janggal apabila gadis itu `berhak’ mengetahui siapa keluarga kandungnya dan pada masa yang sama dia tiada hak untuk membantah ujian DNA yang dijalankan secara paksaan terhadapnya.

Dalam penghakiman itu, mahkamah turut berpendapat, permohonan ujian DNA itu jika dibenarkan hanya akan membawa kesan negatif kepada `C’ selain memberi kesan kepada hubungan dengan D1 dan D2.

Panel berkenaan turut berpendirian bahawa mahkamah perlu berwaspada ketika berhadapan dengan situasi melibatkan struktur kekeluargaan dengan mengambil kira akibat dan kesan dari segi undang-undang.

Pada 27 Mac lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah supaya remaja bawah umur menjalani ujian DNA bagi memastikan paternitinya.

Mahkamah Rayuan berpuas hati, remaja tersebut penting untuk mengetahui asal usulnya, panel itu mesti menjalankan bidang kuasa yang wujud iaitu Parens Patriae untuk membantunya mengetahui kebenaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×