PETALING JAYA: Pelawak dan isterinya yang ditahan kelmarin berhubung penyebaran maklumat dalaman berkaitan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di aplikasi Telegram akan dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pasangan itu yang remannya tamat hari ini akan diberi jaminan polis dan siasatan diteruskan.
“Siasatan tindakan tatatertib juga akan dijalankan ke atas isterinya yang juga anggota polis,” katanya ketika dihubungi di sini.
Media semalam melaporkan pelawak serta isterinya ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan tentang penyebaran maklumat dalaman berkaitan IPD Shah Alam.
Selain itu, polis merampas telefon bimbit mereka bagi membantu siasatan.
Pelawak berusia 38 tahun dan isterinya berusia 37 tahun itu ditahan di Balai Polis Seksyen 9, dekat sini pada pukul 7 malam kelmarin.
Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.
Terdahulu, tular di aplikasi Telegram berkaitan penulisan membabitkan IPD Shah Alam dan penyebaran gambar lawatan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Sahabudin Abd Manan yang meninjau IPD terbabit. – UTUSAN









