KUALA LUMPUR: Timbalan Speaker, Alice Lau Kiong menangguhkan sidang Dewan Rakyat hari ini selepas ahli Parlimen kerajaan dan wakil pembangkang bertikam lidah lebih 15 minit.
Pertikaian bermula apabila RSN Rayer (PH-Jelutong) membangkitkan satu laporan portal berkaitan sebuah badan berkanun yang pada asalnya untuk membantu pelajar Kelantan tetapi kini sedang menjalankan aktiviti lombong emas.
Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) bangun mempersoalkan perkara yang disebut itu tidak ada kena mengena dengan RUU yang dipinda.
“Dia (Rayer) saja. Budak jahat ni. Dia dulu peluk cium, dia hentam UMNO sekarang dia bersama UMNO,” katanya.
Syahir Sulaiman (PN-Bachok) kemudian berdiri lalu menyebut berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36(1), seseorang ahli Dewan apabila membahaskan RUU yang meminda akta induk perlu membangkitkan hanya perkara-perkara berkaitan undang-undang itu sahaja.
Susulan itu, Alice meminta Rayer memberi penjelasan dan Ahli Parlimen Jelutong itu menjelaskan, ketua audit negara dengan pindaan itu akan mempunyai kuasa untuk mengaudit syarikat tersebut kerana syarikat tersebut juga terlibat dalam aktviti melombong emas.
“Kita ingin tahu adakah perkara ini melibatkan dana rakyat,” katanya.
Tan Kar Hing (PH-Gopeng) turut berdiri mempertahankan tindakan Ahli Parlimen Jelutong itu dengan memetik tindakan Wan Fayhsal Wan Kamal (PN-Machang) yang membangkitkan surat layang berkaitan penjualan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat berkait BlackRock tanpa sumber rasmi.
Tindakan itu mencetuskan pertikaian antara kedua-dua belah blok sehingga Alice Lau memaklumkan masa perbahasan Rayer sudah tamat dan menjemput Awang untuk membahas.
Ketika perbahasan oleh Pendang, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) pula berdiri atas Peraturan Mesyuarat 36 (6) bahawa seseorang ahli tidak tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat kepada ahli lain.
“Ucapan tadi pembahas Pendang mengatakan tentang MAHB minta supaya nak siasat… perkara itu belum lagi berlaku, jadi sudah jelas cuba menggunakan peluang ini untuk memburukkan isu MAHB,” katanya.
Awang kemudian bangun menyifatkan Kota Melaka tidak setuju dengan Perdana Menteri yang buat kenyataan untuk menawarkan saham kepada BlackRock.
Howard Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) pula bangun meminta penjelasan berhubung siapa yang menawarkan saham kepada BlackRock, manakala Speaker meminta Pendang menjelaskan berhubung sangkaan jahat yang dibangkitkan Kota Melaka.
Pendang menjelaskan beliau menyebut jika RUU itu diluluskan, audit pertama perlu dibuat kepada MAHB sebab menggunakan wang rakyat.
Alice kemudian berkata: “Kalau Pendang boleh cakap begitu, Jelutong tadi pun tak salah”.
Pendang jelaskan: “Jelutong terus menuduh, saya kata sekiranya audit.”
Ipoh Timor kemudian berdiri berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36 (12) tidak boleh dikeluarkan kenyataan mengelirukan Dewan kerana menyifatkan perkara disebut Pendang berkenaan penjualan saham kepada BlackRock itu bukan sahaja salah, tetapi mengelirukan Malaysia dan dewan yang mulia.
Justeru, Alice Lau meminta Ipoh Timor untuk mengemukakan usul supaya merujuk Pendang kepada jawatankuasa khas berhubung isu berkenaan.
Pada masa sama, Howard Lee meminta Awang menarik balik kenyataan tersebut dan dan pertikaman lidah terus berlaku antara kedua-dua belah pihak sehingga Alice Lau terpaksa menangguhkan sidang Dewan Rakyat. – UTUSAN











