KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan sebanyak 115,000 permohonan bantuan tunai subsidi diesel di bawah inisiatif Budi Madani untuk pemilik kenderaan diesel individu (Budi Individu) setakat semalam.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan komited dalam memastikan mereka yang layak untuk Budi individu akan menerima manfaat tersebut.
Katanya, antaranya melalui kempen kesedaran media dan memudah cara permohonan di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), hampir 1.2 juta kenderaan persendirian diesel, jumlah tersebut termasuk pelbagai kategori tidak layak untuk Budi individu.
“Ia terutamanya 300,000 kenderaan persendirian milik syarikat, 330,000 kenderaan di Sabah, Sarawak dan Labuan, 150,000 kenderaan yang luput cukai jalan dan 60,000 kenderaan mewah atau individu melebihi syarat pendapatan. Dengan itu yang layak budi individu berbaki sekitar 300,000,” katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan.
Amir Hamzah berkata, terdapat kemungkinan ada individu yang layak tetapi tidak ingin memohon.
Katanya, lebih 100,00 individu tiada rekod mengemukakan borang nyata cukai pendapatan untuk sekurang-kurangnya lima tahun manakala kebanyakan daripada yang tidak mohon bantuan tunai tiada rekod cukai LHDN. – UTUSAN










